Thursday, 5 September 2013

10 Amalan yang akan mengubah kehidupan anda.

Jiwa ini sungguh unik sifatnya. Ada saatnya kita rasa sangat bertenaga, bersemangat dan tabah. Tetapi, di celah-celah perjalanan kehidupan – pasti ada titik-titik down kita. Apa perasaan ketika itu? Kita lemah, hilang segala semangat yang pernah membara dan jiwa terasa amat-amat kosong.

Normal kita jika berlaku sedemikian? Saudara-saudaraku, jika hal ini berlaku kepada kita ketahuilah ia adalah perkara yang biasa dan usahlah gusar serta terlalu tertekan dengannya.

“ Iman itu bertambah, dan berkurang.”
“ Jiwa itu ada saat segarnya, dan ada masa lemahnya.”

Persoalan di sini, bagaimanakah kita hendak menghadapinya? Sikap proaktif yang bagaimanakah akan kita cerna dan gerakan ketika menghadapi situasi sebegini. Suka saya mulaikan perkongsian ini dengan bingkisan jiwa murabbi saya, Abu Umar berkaitan jiwa kita.
Bingkasan Jiwa :
Apabila Jiwa Kosong

Apabila jiwa kosong 
maka kehidupan umpama lorong duka lara,
simpang siurnya adalah kekeliruan dan kekecewaan
sedangkan deru anginnya adalah nyanyian kedukaan.

Tidak ada lagi keindahan pada mahligai tersergam
juga kebahagiaan pada segala kemewahan dan solekan dunia.
Jiwa adalah sarang kebahagiaan,
taman ketenangan dengan seribu janji senyuman.
Kemanakah perginya kelazatan
pada sajian hebat yang terhidang dimeja kehidupan.
Dari manakah datangnya kepanasan
di ruangan berhawa dingin yang membekukan hati.
Manusia tetap manusia,
memerlukan hidayah untuk diisikan pada jiwanya
agar dirinya mengenal erti takut dan tunduk.
Kerana takut itulah yang akan mengajarnya erti keberanian
dan tunduk itulah yang akan mengajarnya erti ketinggian.
Keberanian untuk menempuh pahit dan getirnya kehidupan
serta ketinggian untuk memetik buah kebahagian
dalam rimbunan pepohon keimanan.

Sungguh sederhana bahasanya serta sentuhan perasaan yang dinukilkan. Tetapi, jika kita amati jika jiwa kita kosong, hambar, hilang keghairahan serta tiada lagi manis-manis keimanannya maka yang bertakhta di hati hanyalah kesengsaraan, kekecewaan, kerisauan dan kesedihan.
Apabila dirundum kesedihan sedemikian rupa, apa sebenarnya yang kita hajati?

Tentunya, ramai orang hajatkan  sebuah hembusan yang bernama ketenangan, kebahagian dan ketenteraman. Justeru, rawatan pulih itu perlu disegerakan, digerakan, dilaksanakan dan diamalkan sepanjang hayat kita.

Oleh itu, perkongsian saya kali ini ingin membawa sahabat pembaca kepada ubat yang boleh mengisi kelompongan yang ada dalam hati kita ini. Rawatan yang harus disegerakan sepantas kilat yang bercahaya.

Rawatan Jiwa : Super 10.
Super 10? ( Baca : Super Ten)
Apa tu?
Super 10 ini hanya nama yang saya letak untuk 10 amalan yang akan memberikan suatu kesan yang luar biasa sekiranya kita amalkan dalam kehidupan kita. Ianya hanya bermakna apabila kita buat, amal dan beristiqamah dengannya dalam bentuk pengamalan dan penghayatan.
Apakah elemen-elemen Super 10 ini?

Pertama :
Berusahalah untuk bertahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.
Solat Tahajud biasanya dilakukan semasa Qiamullail. Ibadah Qiamullail adalah kebiasaan para salaful soleh dan syiar para kekasih Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis :
“ Hendaklah kamu mengerjakan qiamullail kerana qiamullail adalah kebiasan orang soleh sebelum kamu. Qiamullail mendekatkan diri kepada Allah SWT, menghapuskan dosa dan megusir penyakit daripada tubuh.”
( Riwayat At-Tirmidzi)
Solat malam merupakan ibadah yang paling afdal kerana ia lebih mendekatkan diri kepada rasa keikhlasan dan menjauhkan diri daripada riak. Latihan ini sangat baik untuk mendidik diri agar sentiasa bersih, jernih dan suci!

Kedua :
Melazimi membaca Al-Qur’an dan zikir al-mathurat sebelum terbit matahari kerana ia merupakan sumber ketenangan seorang mukmin muslim.
Al-Quran adalah motivasi terulung bagi seorang mukmin. Anda percaya?Ya. Ia merupakan pengerak dan dinamo utama kepada energi kekuatan seorang insan untuk melaksanakan segala bentuk kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Tegas Allah SWT dalam Firmannya yang bermaksud :
“ Dan Kami turunkan dari Al-Quran sesuatu yang menajdi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Al-Isra 17 : 82)
Dan satu ungkapan yang menarik yang diucapkan oleh Saidina Uthman Bi Affan RA : “ Sekiranya hatimu itu suci, nescaya tidak akan kenyang (puas) dari firman Rabbmu ( Al-Quran).”

Ketiga :
Memelihara kesempurnaan solat kerana inilah kekuatan mukmin muslim yang utuh.
Solat.Ia merupakan talian hayat utama bagai seorang hamba kepada Tuannya.
Solat menghubungkan jiwa, ruh dan hati seseorang insan terus kepada RabbNya. Kesempurnaan solat akan memberi pelbagai bentuk suntikan tenaga yang mampu menggerakan dan melonjakan produktiviti serta amal proaktif semua insan.
Kesempurnaan solat terletak kepada kekhusyukan dan aspek-aspek yang menyempurnakannya. Dengan khusyuk, terbukalah kunci-kunci pintu hati, bersinar serta terserlahlah cahaya keimanan di dalam hati. Dengan ini seseorang akan merasai kemanisan iman di dalam jiwanya.
Solat menjadi kecintaan dan kerinduaannya kerana ia mendapat manfaat bersama ibadah solat. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda :
“ Dan dijadikan mataku sejuk dalam solat.”
( HR Nasai)

Keempat :
Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
Rasulullah SAW bersabda :
“ Pada tiap-tiap pagi ada kewajipan ke atas setiap orang perseorangan (individu) untuk bersedeqah, dan cukuplah menggantikan semuanya dengan mengerjakan dua rakaat sunat Dhuha.”
( Riwayat Abu Dzar RA)
Sejujurnya, kita akan merasai kelainan yang berbeza dalam menjalani kehidupan seharian apabila solat sunnat ini telah menjadi malakah (darah daging) kita. Rasa janggal kalau termiss atau tertinggal walaupun sehari.

Kelima :
Sentiasa bersedekah setiap hari. Walaupun hanya dengan sekuntum senyuman kerana ia penyubur kasih sayang.
Sedeqah adalah amalan yang sangat mulia. Ia membersihkan diri daripada sifat-sifat yang mazmumah dan menyuburkan sifat kasih sayang dalam diri manusia. Dan ganjarannya di sisi Allah SWT amatlah besar dan lumayan.
Allah SWT berfirman :
“ Perumpamaan orang-orang yang menafqahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan ganjaran bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas ( kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
(Al-Baqarah 2 : 261)

Keenam :
Sentiasa memelihara wudhuk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu’.
Imam Al Banna selalu berpesan kepada sahabat-sahabatnya : “ Bahawa Rasulullah SAW bersabda :” Wudhuk adalah senjata mukmin, kerana itu setiap Ikhwan mengambil berat soal memperbaharui wudhuk apabila terbatal walaupun di kala malam yang dingin menusuk tulang.”
Saidina Umar Al-Khattab RA : “ Sesungguhnya wudhuk yang baik, mengusir syaitan dari dirimu.”

Ketujuh :
Amalkan istighfar setiap masa agar terhapus segala dosa dan noda.
Apa itu istighfar? Maknanya : Proposal atau “ Permohonan Ampunan kepada Allah SWT.”
Istighfar ini menunjukan kemampunan seseorang untuk mengenali kesalahan, dosa, dan kemaksiatan yang telah dilakukan. Kemudian, muncul perasaan menyesal dan tekad yang kuat untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.
“ Dan bersitighfarlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Al-Muzamil  73 : 20)
Nasihat Nabi Muhammad SAW kepada kita, sabda baginda :
“ Sesungguhnya hatiku selalu lupa, padahal aku beristighfar kepada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali.”
( HR Muslim dan Abu Daud)

Kelapan  :
Perbaharui azam dan tekad untuk terus berkhidmat kerana Allah SWT
Saban hari, pastinya jiwa dan hati kita akan diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk ujian dan cabaran. Dan semestinya, jiwa kita itu harus disegarkan dengan memperbaharui azam dan tekad agar ia tidak layu dan kendur.
Terus bersemangat dan mengobarkan cita-cita serta harapan adalah ciri yang harus pada ada seorang yang ingin melaksanakan tugas yang berat ini. Iaitu tugas mendaulatkan deen Allah SWT. Dengan sedikit kemampuan yang Allah SWT berikan kita boleh menyebarkan syiar Islam melalui pelbagai wasilah dan cara dengan kadar kepakaran serta kebolehan yang kita miliki.

Kesembilan :
Sentiasa ceria, bermanis muka dan berfikiran positif kerana itulah watak sahsiah seorang mukmin sejati.
Rasulullah SAW mengalakan agar budaya senyum itu dihidupkan oleh para sahabat dengan ungkapannya : “ Senyum itu adalah sedekah.”
Senyuman itu akan membahagiakan sesiapa sahaja yang melihat kita dan pastinya ia akan membenihkan bibit-bibit kasih sayang di dalam jiwa manusia. Sahsiah inilah yang harus dihidupkan bagi melahirkan masyarakat yang harmoni hidup berkasih sayang di bawah naungan Islam.
Seharusnya juga, seseorang mukmin memelihara kesentiasaan positif dan meninggalkan pengaruh yang baik terhadap individu disekitarnya.
Imam Al-Banna berkata : “ Orang soleh sentiasa meninggalkan pengaruh yang positif di mana pun ia pernah berada.”

Kesepuluh :
Memelihara Diri dengan keikhlasan yang tulus kerana Allah SWT kerana disitulah terletaknya nilai amalan di sisi Allah SWT.
Ikhlas adalah ibadah hati yang pertama, terpenting, tertinggi dan merupakan asas utamanya. Firman Allah SWT :
“ Dan mereka tidak diperintahkan, selain untuk beribadah kepada Allah SWT mengikhlaskan agama hanya untuk-Nya dengan penuh ketundukan.”
( Surah Al-Bayyinah 98 : 5)
Ibnu Qayyim berbicara mengenai ikhlas : “ Ikhlas adalah menjadikan Allah SWT sebagai matlamat dalam melakukan ketaatan, iaitu anda memiliki matlamat hanya pada Dia sahaja, bukan kepada selain-Nya.”

Penutup : Agar Jiwa Kita Sentiasa Terisi
Andaikata sudah lama kekosongan jiwa kita terlopong tanpa apa-apa sentuhan, maka marilah kita isinya dengan Super 10 ini. Ia akan benar-benar menjadi dan berkesan apabila kita sendiri yang melaksana sebagai agenda serta amalan kehidupan kita.
Ayuh, rakan-rakan – kita menjadi 10 amalan ini sebagai kekuatan diri kita dalam rangka menjadi hamba Allah SWT.


SUMBER ---- http://langitilahi.com/8797

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 Amalan Di Dunia..