Surah al-Fatihah:
-Membaca Fatihah kitab (al-Quran) mendapat pahala seperti membaca sepertiga al-Quran.
-Amalkan
membaca al-Fatihah sebanyak 70 kali setiap hari dalam keadaan berwudhu’
dan ditiupkan pada air lalu diminum selama tujuh hari. Insya-Allah akan
mudah memperolehi ilmu pengetahuan; di samping itu dapat mengawal hati
dan fikiran daripada perkara-perkara yang merosakkan.
-Amalkan
membaca al-Fatihah semasa hendak tidur, diikuti membaca Surah al-Ikhlas
tiga kali, Surah al-Falaq dan Surah an-Nas, insya-Allah akan aman
tenteram dan terjauh dari gangguan syaitan.
-Bagi mereka
yang mempunyai hajat yang baik, termasuk untuk mendapat kenaikan
pangkat/darjat, untuk mendapat rezeki yang lumayan dari keadaan fakir,
untuk dapat menyelesaikan hutang, untuk menyembuhkan penyakit, agar anak
menjadi soleh dan berbagai hajat lagi, maka hendaklah memohon kepada
Allah s.w.t. dengan membaca al-Fatihah sebanyak 41 kali setiap hari.
Waktunya ialah antara solat sunat Subuh dan solat fardhu Subuh. Amalkan
amalan ini sehingga 40 hari, insya-Allah hajat kita akan di kurnia Allah
s.w.t.
-Amalkan
membaca al-Fatihah sebanyak 20 kali setiap lepas solat fardhu,
insya-Allah akan memperolehi rezeki yang lumayan, pangkat/darjat yang
baik di sisi masyarakat, baik akhlak. Mudah dalam urusan hidupnya dan
kaum keluarga mendapat perlindungan Allah s.w.t.
-Untuk
membuka pintu rezeki yang luas dan mempermudah segala urusan hidup serta
terhindar dari segala kesulitan, amalkan membaca al-Fatihah sebanyak 41
kali semasa makan sahur malam. Insya-Allah akan dimakbulkan Allah
s.w.t.
-Setengah
ulama menganjurkan membaca al-Fatihah sebanyak 40 kali setiap lepas
solat Maghrib dan sunatnya untuk memohon sesuatu yang baik kepada Allah
s.w.t. Insya-Allah hajatnya akan termakbul.
-Dianjurkan
juga amalan membaca al-Fatihah sebanyak 41 kali, insya-Allah dapat
mengubati sakit mata, sakit gigi, sakit perut dan lain-lain.
- Barangsiapa mengamalkan bacaan Al-Fatihah diwaktu sahur (tengah malam) sebanyak 41 kali maka Allah s.w.t.bukakan pintu rezekinya dan Dia mudahkan urusannya tanpa kepayahan dan kesulitan. Selesai bacaan Al-Fatihah tersebut dan sebaiknya berdoa:
“Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu dengan kebenaran
surah Al-Fatihah dan rahsianya, supaya Engkaubukakan bagiku pintu-pintu
rahmatMu, kurnia-Mu dan rezeki-Mu. Dan Engkau mudahkan setiap urusanku,
murahkanlah bagiku rezekiMu yang banyak lagi berkat tanpa kekurangan dan
tanpa susah payah, sesungguhnya Engkau berkuasa atas setiap sesuatu.
Aku mohon kepada-Mu dengan kebenaran surah Al-Fatihah dan rahsianya,
berikan apa yang kuhajati……..”
Diriwayatkan dari Syeikh Muhyiddin Ibnul Arabi didalam kitab‘Qaddasallaahusirrahu’
Surah al-Kahfi:
-Sabda
Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam
Jumaat maka terpancarlah cahaya di antaranya dan Baitullah.” (Riwayat
Al-Baihaqi dari Abi Said al-Khudri)
-Imam Ahmad
berkata, daripada Abi Darda’, daripada Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa menghafaz sepuluh ayat permulaan Surah al-Kahfi maka terhindar
daripada Dajjal.” (Riwayat Muslim, Abu Daud, An-Nasai, At-Tirmizi
daripada Qatadah)
-Imam Ahmad
berkata, daripada Abi Darda’, daripada Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa membaca sepuluh ayat akhir daripada Surah al-Kahfi, maka
terhindarlah ia daripada fitnah Dajjal.” (Riwayat Muslim dan An-Nasai)
-Daripada
Muaz Ibnu Anas al-Juhari, daripada bapanya, daripada Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Sesiapa membaca dari Surah al-Kahfi, maka jadilah baginya
cahaya daripada kepala hingga kakinya dan sesiapa yang membaca
keseluruhannya, maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi.”
(Riwayat Ahmad)
-Daripada
Umar berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa membaca Surah
al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah
kakinya hingga ke langit, untuknya di hari kiamat dan diampunkannya
antara dua Jumaat.” (Riwayat Ibnu Katsir)
-Sabda
Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam atau
siang Jumaat, maka diampunkan dosanya hingga Jumaat akan datang; dan
70,000 Malaikat memohon rahmat kepada Allah s.w.t. hingga waktu Subuh,
dan dijauhkan Allah s.w.t. dari terkena wabak penyakit demam panas atau
ta’un; penyakit sopak; dan dijauhkan dari fitnah Dajjal.”
Surah as-Sajdah:
-Amalkan membaca surah ini selalu atau sekurang-kurangnya setiap malam Jumaat.
-Daripada
Abu Hurairah r.a. beliau berkata: “Nabi s.a.w. membaca pada Solat Fajar
(Subuh) pada hari Jumaat “Alif Laam Miim Tanzil” as-Sajdah dan ‘Hal Ata
‘Alal Insaan’ Insaan.” (Riwayat Bukhari)
-Daripada Jubair, beliau berkata: “Adalah Nabi s.a.w. tidak tidur hingga membaca Surah as-Sajdah dan al-Mulk.” (Riwayat Ahmad)
-Melindungi pembacanya dari seksa kubur.
-Mendapar pahala yang besar seperti pahal mereka yang tetap solatnya pada malam Lailatul Qadar.
-Mendapat hidayah ilmu yang yakin.
-Dikurniai cahaya (nur) pada dirinya semasa ia mati.
Surah al-Mu’min (Ghaafir), Fussilat, asy-Syuraa, az-Zukhruf, al-Jaathiyah dan al-Ahqaaf:
-Mereka yang mengamalkan membacanya mendapat pahala yang besar dan mendapat pembelaan di akhirat kelak.
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Di dalam al-Quran terdapat 7 surah yang dimulai dengan
“Ha Miim”, akan datang di depan setiap pintu neraka jahanam dan memohon
kepada Allah: “Ya Allah! Janganlah Engkau masukkan (ke dalam neraka
ini) orang yang percaya kepada aku dan membacaku.”” (Riwayat Al-Baihaqi
dari Khalil)
Surah ad-Dukhaan:
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah Ha Miim ad-Dukhaan setiap
malam, maka pada esok harinya 70,000 Malaikat memohonkan keampunan
baginya.” (Riwayat At-Tirmizi dari Abu Hurairah)
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah ad-Dukhaan pada malam atau
hari Jumaat, maka Allah akan membinakan sebuah rumah dalam Syurga.”
(Riwayat At-Tabrani dari Umamah)
- Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Di dalam al-Quran terdapat 7 surah yang dimulai
dengan “Ha Miim”, akan datang di depan setiap pintu neraka jahanam dan
memohon kepada Allah: “Ya Allah! Janganlah Engkau masukkan (ke dalam
neraka ini) orang yang percaya kepada aku dan membacaku.”” (Riwayat
Al-Baihaqi dari Khalil)
-Daripada
Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa membaca
Ha Miim ad-Dukhaan pada malam Jumaat, maka diberi keampunan baginya.”
(Riwayat Ibnu Katsir)
Surah al-Fath:
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya telah diturunkan kepadaku pada waktu
malam sebuah Surah yang aku cintai lebih dari dunia ini dan isinya.”
Pada riwayat yang lain, “yang lebih aku cintai daripada apa yang
disinari oleh cahaya matahari.” Dan kemudian baginda membaca: “Innaa
fatahnaa laka fatham mubiinaa (ayat pertama Surah al-Fath).” (Riwayat
Bukhari)
-Hadith
Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya membaca Surah al-Fath maka seolah-olah
ia turut menyaksikan pembukaan dan penaklukan Makkah bersama Muhammad
Rasulullah.” (Diceritakan oleh Thalabi)
-Setengah
ulama zaman silam menyatakan bahawa sesiapa membaca Surah al-Fath semasa
melihat bulan awal Ramadhan pada permulaan malam, maka Allah luaskan
rezekinya pada tahun itu sehingga akhir tahun.
Surah al-Waaqi’ah:
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah al-Waaqi’ah pada tiap-tiap
malam akan terjauhlah ia dari kepapaan selama-lamanya.” (Riwayat
Al-Baihaqi)
-Daripada
Ibnu Abbas r.a. beliau berkata, Abu Bakar as-Siddiq r.a. berkata: “Wahai
Rasulullah, sesungguhnya tuan berambut putih (kelihatan tua) kerana
Surah-surah Hud, al-Waaqi’ah, al-Mursalat, Amma Yatasaalun dan
Iza-Syamsul-Kuwwirat.” (Riwayat At-TIrmizi)
-Sesiapa
yang mengamalkan membacanya sebagai wirid selepas tiap kali solat Asar
sebanyak 41 kali, insya-Allah akan mudah mendapat rezeki.
-Jika dibacakan kepada orang yang sedang sakit insya-Allah akan ringanlah sakitnya.
-Jika dibacakan di hadapan orang yang sedang nazak, insya-Allah akan memudahkan sakaratulmautnya.
-Jika dibacakan untuk ahli kubur, insya-Allah akan meringankan seksa kuburnya.
-Daripada
Fadhil Umu Yassar Al-Muzani berkata, Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa
ketika bangun Subuh membaca isti’aadzah (a’udzubillahi
minasy-syaitaanirrajiim), diikuti membaca tiga ayat akhir Surah
al-Hasyr, maka Allah s.w.t. mewakilkan 70 Malaikat berselawat atasnya
hingga ke petang dan jika dia meninggal dunia pada hari itu dikira mati
syahid.” (Riwayat At-Tirmizi)
Surah al-Mulk:
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya di dalam al-Quran terdapat 30 ayat yang
kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga
ia mendapat keampunan dosanya iaitu Surah al-Mulk.” (Riwayat Abu Daud,
At-Tirmizi, An-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah)
-Daripada
Ibnu Abbas r.a., seorang sahabat Rasulullah s.a.w. menceritakan ia telah
mendirikan khemah di atas kubur yang beliau tidak ketahui. Dari kuburan
itu beliau terdengar suara orang membaca Surah al-Mulk sehingga khatam;
beliau lalu menemui baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya
dirikan khemah di atas sebuah kuburan yang saya tidak ketahui, saya
mendengar seorang sedang membaca Surah al-Mulk sehingga khatam.” Aka
Nabi s.a.w. bersabda: “Itulah yang menahan dan yang menyelamatkan dia
dari seksa kubur.” (Riwayat At-Tirmizi)
-Daripada
Jabir r.a.: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak akan tidur sehingga
baginda membaca Surah Alif Laam Miim al-Sajdah dan al-Mulk.” (Riwayat
At-Tirmizi)
-Daripada
Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu Surah di
dalam al-Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke
dalam Syurga iaitu ‘Tabaarakal-ladzii’.” (Riwayat At-Tabrani)
-Dari Ibnu
Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah
al-Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.”
(Riwayat An-Nasai)
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah al-Mulk dan as-Sajdah pada
waktu malam maka keadaannya seperti ia menemui malam Lailatul-Qadr.”
(Riwayat Anas r.a.)
Surah an-Nabaa’, al-Buruuj, Qaaf dan at-Taariq:
-Hadith yang
diceritakan oleh Abu Darda’ bermaksud: “Pelajarilah Surah an-Nabaa’;
pelajarilah Surah al-Buruuj, pelajarilah Surah Qaaf dan pelajarilah
Surah at-Taariq, kerana jika kamu mengetahui fadhilat-fadhilat dan
besarnya pahala membaca Surah-surah tersebut, maka kamu akan berhenti
dari tugas-tugas kamu lalu mempelajari Surah-surah tersebut; dan juga
mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan membacanya. Sesungguhnya
Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa mereka yang mengamalkan membacanya
selain dari dosa syirik.
Surah at-Takwiir:
-Mengamalkan
membaca surah ini menjauhi kepapaan disamping pahala yang banyak.
Rasulullah s.a.w. membacanya boleh dikatakan setiap malam.
- Daripada
Ibnu Abbas r.a. beliau berkata, Abu Bakar as-Siddiq r.a. berkata: “Wahai
Rasulullah, sesungguhnya tuan berambut putih (kelihatan tua) kerana
Surah-surah Hud, al-Waaqi’ah, al-Mursalat, Amma Yatasaalun dan
Iza-Syamsul-Kuwwirat.” (Riwayat At-TIrmizi)
Surah al-A’laa:
-Rasulullah
s.a.w. setiap malam membaca Surah-surah yang mengandungi kalimah Tasbih.
Sabda baginda: “Sesungguhnya pada Surah yang terdapat kalimah Tasbih
terdapat satu ayat yang lebih baik daripada seribu ayat.” Seorang
sahabat, ‘Ubai bin Ka’ab mengatakan: “Surah yang utama mengandungi
Tasbih ialah Surah al-A’laa.” (Riwayat At-Tirmizi dan An-Nasai)
Surah adh-Dhuhaa:
-Menurut
ulama, apabila Surah ini diamalkan membacanya menjadi wirid 7 kali pada
setiap pagi ketika matahari terbit dan 7 kali setiap matahari terbenam,
insya-Allah akan terselamat dari kehilangan atau kecurian.
-Sekiranya
terjadi kehilangan atau kecurian, maka kerjakanlah solat sunat Dhuha
tiga kali (dua rakaat sekali) pada setiap pagi Jumaat sehinggalah yang
hilang itu di dapati kembali. Selepas memberi salam, berdoalah memohon
kepada Allah s.w.t.
-Sesiapa
yang mengamalkan membaca Surah adh-Dhuhaa 40 kali setiap hari selama 40
hari dan berdoa memohon kepada Allah s.w.t., insya-Allah hidupnya
terjauh dari keadaan fakir.
Surah al-Insyirah:
-Mempermudah segala urusan, dan murah rezeki apabila diamalkan membacanya 7 atau 10 kali setiap lepas solat fardhu.
-Apabila ada
sesuatu hajat yang penting, kerjakan solat sunat hajat atau Tahajjud di
tengah malam, dan baca Surah ini 103 kali atau lebih banyak menurut
kemampuan. Insya-Allah hajatnya akan tercapai.
-Amalkan membaca Surah ini, insya-Allah terjauh dari wabak penyakit panas dan penyakit berjangkit.
Surah al-Qadr:
-Mereka yang mengamalkan membacanya hingga menjadi wirid dipandang hebat dan mulia.
-Mereka yang mengamalkan membacanya seberapa banyak, insya-Allah akan terhindar dari kefakiran.
-Untuk memohon sesuatu hajat kepada Allah, bacalah 141 kali dan berdoa, insya-Allah akan terkabul hajatnya.
-Mereka yang membaca Surah al-Qadr ini semasa keluar dari rumah, insya-Allah akan pulang dengan selamat.
-Mereka yang membaca Surah al-Qadr 10 kali maka akan terhapuslah 1000 dosanya.
Surah al-Bayyinah:
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t. setelah mendengar orang
membaca surah ini lalu berfirman kepada pembacanya: “Bergembiralah kamu
hai hamba-Ku; dengan kemuliaan-Ku, Aku tidak akan melupaimu dalam setiap
gerak tingkah lakumu di dunia dan di akhirat; dan Aku tempatkan kamu di
dalam Syurga atas keredhaanmu.””
Surah az-Zalzalah:
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah az-Zalzalah, maka
bandingannya seperti membaca separuh al-Quran.” (Riwayat At-Tirmizi dari
Anas)
Surah al-‘Aadiyaat:
-Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah al-‘Aadiyaat, maka bandingannya seperti membaca separuh al-Quran.”
Surah al-Fiil:
-Sesiapa
yang dizalimi orang, kerjakanlah solat Tahajjud atau Hajat di tengah
malam. Selepas membaca al-Fatihah pada rakaat pertama baca Surah al-Fiil
40 kali dan pada rakaat kedua Surah al-Kaafiruun sekali.
-Untuk tertunai hajat, bacalah Surah al-Fiil 20 kali sehari selama 7 hari, insya-Allah termakbul.
-Baca Surah al-Fiil 1000 kali setiap hari selama 40 hari untuk memudahkan mendapat rezeki.
Surah al-Kautsar:
-Menurut
sebuah Hadith Rasulullah s.a.w., sesiapa yang membaca Surah al-Kautsar
maka Allah akan memberinya minuman dari sungai Syurga.
-Sesiapa
yang membaca Surah al-Kautsar 1000 kali, maka Allah s.w.t. akan
menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkatnya.
-Sesiapa
yang mengamalkan membaca Surah al-Kautsar 7 kali semasa dalam keadaan
ketakutan, maka Allah s.w.t. akan memberikan perlindungan terhadapnya.
-Sesiapa
yang membaca 1000 kali Surah al-Kautsar selepas solat fardhu Isya’
hingga ia tertidur, insya-Allah dapat melihat Nabi Muhammad s.a.w. dalam
tidurnya.
Surah al-Kaafiruun:
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah al-Kaafiruun maka
bandingannya seperti membaca seperempat al-Quran; disamping terlepas
dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristimewa
bencana yang mengejutkan.” (Riwayat At-Tirmizi dari Anas)
Surah an-Nasr:
-Sesiapa yang mengamalkan membaca Surah ini akan mendapat pahala yang besar, bandingannya seperti membaca seperempat al-Quran.
-Bacalah
Surah ini apabila hendak melakukan kerja-kerja yang rumit atau berat;
ataupun semasa hendak keluar rumah, insya-Allah akan mendapat
pertolongan Allah s.w.t.
Surah al-Ikhlas:
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas ini satu kali,
maka Allah s.w.t. memberi pahala sebanyak pahala 100 orang pahlawan
syahid.” (Maksud Hadith dari Ubai bin Ka’ab)
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membacanya 10 kali setiap lepas solat
Subuh maka tidak akan terjadi kepadanya suatu dosa pun, walaupun syaitan
bersungguh-sungguh menggodanya.” (Maksud Hadith dari Ali bin Abu Talib
r.a.)
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas satu kali maka
seolah-olah ia membaca sepertiga al-Quran.” (Maksud Hadith dari Anas bin
Malik)
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas tiga kali maka
seolah-olah ia membaca keseluruhan al-Quran.” (Maksud Hadith dari Anas
bin Malik)
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas dalam solat-solat
fardhu maka Allah s.w.t. mengampuninya berserta kedua ibu bapanya dan
orang-orang yang celaka lalu menuliskannya dalam buku daftar orang-orang
yang berjaya. (dari sebuah khabar-Majalis)
-Dari Hadith
Rasulullah s.a.w. pula bermaksud: “Sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas
10 kali maka Allah s.w.t. akan membinakan untuknya sebuah rumah di
dalam Syurga.”
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Sesiapa membaca Surah al-Ikhlas semasa dalam sakit
yang membawa kepada kematiannya maka ia tidak akan terkena fitnah kubur
dan aman dari himpitan kubur dan ia akan dibawa oleh Malaikat dengan
tapak tangannya hingga melepasi sirat menuju ke Syurga.” (Riwayat
At-Tabrani)
-Sebuah lagi
Hadith Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Sesiapa yang membaca Surah
al-Ikhlas di atas perkuburan sebanyak 11 kali dan pahalanya dihadiahkan
kepada umat Islam yang telah meninggal dunia, maka diterimakan kepadanya
pahala sebanyak mereka yang telah meninggal dunia.”
Surah al-Falaq dan An-Naas:
-Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Ingatlah saya beritahu kepada kamu tentang ta’awuz
(doa memohon perlindungan) yang paling berkesan ialah ‘Qul a’uudzu
birabbi’.” (Riwayat Ahmad dari Ibnu Abbas r.a.)
Untuk
menyembuhkan orang terkena sihir atau yang seumpamanya, bacakan sebanyak
41 kali setiap hari selama 3 hari, 5 atau 7 hari berturut-turut.
Insya-Allah akan sembuh.
-Untuk
menaikkan semangat berani membela kebenaran dari kekejaman orang-orang
memegang kuasa, orang-orang jahat dan sebagainya, bacalah kedua Surah
ini 100 kali.
-Juga
bacalah kedua Surah ini seberapa banyak apabila kita sesat jalan seperti
dalam gelap atau dalam hutan, insya-Allah akan terselamat.
-Amalkan
membaca kedua Surah ini 3 kali, pagi dan petang didahului membaca Surah
al-Fatihah dan Surah al-Ikhlas, insya-Allah segala keperluan hidupnya
akan cukup dan sempurna.
Marilah kita semua amalkannya.
SUMBER ----- http://aura-hikmah.blogspot.com/2012/05/fadhilat-dan-hikmah-amalan-membaca.html
0 comments:
Post a Comment