Menurut perspektif Islam,
pendidikan kanak-kanak ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih
rohani dan jasmani mereka berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan
Al-Quran, Hadis dan pendapat serta pengalaman para ulama. Ia bertujuan
melahirkan " Insan Rabbani" yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.
Falsafah
pendidikan sebenarnya menekankan aspek rohani dan jasmani, sesuai
dengan kejadian manusia itu sendiri yaang terdiri daripada roh dan
jasad. Ianya melibatkan beberapa peringkat, bermula dari dalam kandungan
sehinggalah ia lahir dan menjadi dewasa.
Membentuk Dunia Kanak-kanak
Sebelum
anak-anak dilahirkan, ibubapa menyediakan tempat yang sesuai untuk
membesarkan anak dengan sebaik-baiknya. Ini bermakna dunia kanak-kanak
setelah dilahirkan ialah rumah ibubapa itu sendiri. Untuk mencapai
kesempurnaan hidup kanak-kanak, ibu-bapa perlu membentuk suasana harmoni
dan bercirikan keislaman dalam kehidupan rumahtangga terlebih dahulu.
Jika
pasangan suami isteri menghayati nilai-nilai keislaman dalam kehidupan
rumahtangganya, mudahlah ia mendidik anak-anaknya dengan benih-benih
Islam. Sebaliknya, jika pasangan suami isteri gagal menerapkan
nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumahtangga, sukarlah bagi
mereka mentarbiyah anak-anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.
Atas
itulah Rasulullah S.A.W mengingatkan bakal-bakal suami agar memilih
bakal isteri yang mempunyai kesungguhan dan penghayataan agama, bukan
kerana paras rupa, keturunan atau harta semata-mata. Sabda Rasulullah
yang bermaksud:
" Wanita dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya,
keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama
kerana ia menguntungkan kamu(lebih utama)"
Ketika Anak Dalam Kandungan
Proses
pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan
ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:
1)
Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memper-banyakkan bacaan
Al-Quran terutama surah Yusuf, Mariam, Luqman dan At-Taubah.
2)
Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar anak yang bakal
dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman,
bertakwa dan berakhlak mulia.
3)
Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya
benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang
halal.
4) Ibu
hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh
badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan
anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititik beratkan oleh
Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung
untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan
diri dan anaknya.
5)
Ketika mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan
perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya
keadaan ibu agak berbeza dari waktu - waktu biasa, terutamanya bagi ibu
yang bakal melahirkan anak yang pertama. Mungkin selera makannya hilang,
perasaan agak terganggu(sensitif) dan hatinya boleh berdebar-debar
kerana bayi dalam kandungannya itu adalah sebahagian daripada dirinya.
Ketika ini para suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri serta
memberi dorongan yang kuat kepadanya
Setelah Anak Dilahirkan
Setelah anak dilahirkan, hendaklah segera diazankan telinga kanannya dan diiqamatkan telinga kirinya.
Abu Rafi meriwayatkan sebuah hdis yang bermaksud:
" Aku melihat sendiri Rasulullah S.A.W mengazankan Hasan B. Ali pada telinganya ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a"
(Riwayat Abu Daud dan Termizi)
Sebagai
suapan yang pertama, sunat bayi disuapkan dengan manisan seperti madu
dan kurma. Abu Musa Al Asyari r.a. dalam sebuah riwayat mengatakan:
"Isteriku
melahirkan seorang anak. Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah S.A.W..
Baginda menamakannya Ibrahim, kemudiannya disuap dengan buah kurma(yang
telah dilumatkan) setelah itu baginda mendoakan keberkatan baginya lalu
bayi itu diserahkan kembali kepadaku".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada
hari ketujuh kelahirannya, ibu bapa disunatkan bersedekah dengan
melakukan ibadah aqiqah untuk anaknya. Seekor kambing bagi anak
perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki. Rambutnya pula sunat
dicukur keseluruhannya supaya kepalanya bersih, otaknya cergas dan
rambut barunya tumbuh dengan subur dan sihat.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
"Setiap
anak yang baru dilahirkan bergantung kepada aqiqahnya. Hendaklah
diaqiqahkan dengan menyembelih kambing pada hari ke tujuh, diberi nama
pada hari itu dan dicukur kepalanya".
( Riwayat Abu Daud, Termizi dan Nasa)
Bagi
ibu yang menyusukan anak, ia perlu makan makanan yang halal, bersih,
dan berzat. Ketika menyusukan anak, hatinya hendaklah selalu mendoakan
kejayaan anaknya. Ketika hendak tidur, dodoikan (lagukan) dengan kalimah
memuji Allah dan Rasulnya seperti nasyid dan sebagainya.
Apabila
anak sudah mulai pandai bercakap, hendaklah membiasakannya dengan
percakapan yang baik-baik seperti selawat, zikir dan lain-lain perkataan
yang seumpamanya.
Peringkat Umur antara 5 hingga 7 tahun.
Pada
peringkat umur antara 5-7 tahun, memerlukan teknik pendidikan yang
lebih luas dan menyeluruh. Pengisian antara keperluan rohani dan jasmani
perlu didedahkan serentak dan diseimbangkan. Teknik pembelajaran dan
pengajaran perlu menggunakan kaedah yang sesuai kerana kanak-kanak
biasanya akan belajar(mengikut) berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang
dilakukan oleh individu disekelilingnya terutama ahli keluarganya.
Menurut
pandangan Islam, pada peringkat ini anak-anak wajar didedahkan dengan
latihan menulis, membaca, mengira dan berbahasa. Pendidikan yang wajar
didedahkan pada peringkat ini ialah bab ibadah dan akhlak. Misalnya
kanak-kanak yang baru meningkat umur mumayyiz hendaklah dilatih
mendirikan sembahyang. Seterusnya adab-adab yang mulia hendaklah mula
diterapkan dalam bentuk latihan amali seperti:
1)
Mendidik anak supaya taat dan beradab kepada kedua ibubapanya;
timbulkan kesedaran kepada mereka bahawa pengorbanan ibubapa terhadapnya
adalah amat besar dan mereka perlu bersyukur kerana menjadi anak yang
masih mempunyai kedua ibubapa. Ini dapat mengeratkan hubungan mesra,
rasa kasih sayang antara ahli keluarga.
2)
Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang yang lebih
tua daripadanya; guru merupakan orang yang bertanggungjawab mendidik dan
menyampaikan ilmu manakala orang yang lebih tua adalah orang yang lebih
berpengalaman dan berpengetahuan daripadanya.
3)
Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik; anak-anak hendaklah
dilatih bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan perkataan yaang
baik-baik. Kanak-kanak biasanya begitu sensitif dengan pendengarannya,
ia mudah terikut-ikut dengan apa yang didengarnya. Sebab itu jika
ibubapa mahu menegur atau memarahi mereka, hendaklah menggunakan bahasa
yang paling sopan bukannya dengan bahasa yang kesat, kasar dan keras.
4)
Mengajar anak-anak adab bergaul dengan rakan-rakan; anak-anak harus
dinasihatkan agar tidak berbangga atau meninggi diri di hadapan rakan
sebayanya, jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang lain .
5)
Mengajar anak adab makan minum yang baik; sifat atau sikap yang tidak
sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah ditegah, sebaliknya
anak-anak dilatih dulu dengan adab-adab makan seperti mencuci tangan,
duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan sesudah makan.
6)
Mengajar anak adab berpakaian; pakaian yang dipilih hendaklah menutup
aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
7)
Mengajar adab dan bangun daripada tidur; sebaiknya hendaklah mengadap
qiblat, membersihkan diri sebelum dan selepas bangun daripada tidur.
8)
Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas, anak-anak perlu diajar cara
membuang air kecil/besar dan cara masuk ke dalam tandas seperti membaca
doa, menutup kepala,membelakangkan qiblat dan sebagainya.
Kesimpulan
Anak-anak
merupakan amanah Allah yang perlu dididik dengan sebaiknya sejak ia
kecil lagi supaya apabila besar kelak menjadi anak yang soleh dan
sentiasa taat kepada kedua ibubapanya. Mereka ibarat kain putih dan
ibubapa lah yang berperanan mencorak dan melukiskannya dengan
warna-warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup Islam.
SUMBER
Friday, 28 March 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment