Thursday 14 August 2014

Pesan Roh Kepada Manusia.

Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia.  Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu  kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut".  Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas.  Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu : "Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh".  Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi Balu.  Maka janganlah kamu menyakitinya.  Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka.  Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya". 

Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir. 

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: "Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku". "Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku".  "Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan.  Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku". 

Ada satu riwayat drp Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah.  Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing.  Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka.  Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama.  Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu.  Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk drpd anak-anak dan teman-teman.  Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku". 

Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga.  Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka.  Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. 

Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya.  Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari. 

Baginda Rasullullah saw bersabda:-
Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut.  Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar.  Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.  Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah saw lagi:-
"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail as akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga.  Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya.  Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail as "Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail as akan menebarkan sayap di sebelah kiri.  Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya.  Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah swt menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut.  Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah swt".  Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah swt dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. 

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud:-
"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."  Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan.  Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu.  Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."  Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki.  Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini Kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."  Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga.  Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."  Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."  Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah swt.

 Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud:-
"Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."  Sebaik saja mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah swt.  Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah swt maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar ra telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad.  Maka berkata Abu Bakar ra:

"Roh itu menuju ke tujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin. 
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus. 
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina. 
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka. 
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat. 
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik. 
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat." 

Telah bersabda Rasullullah saw:  Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:- 

1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan. 
3. Orang berpuasa di hari Arafah. 

Sekian untuk ingatan kita bersama.


Artikel ------- http://bakib.weebly.com/

Amalan Harian Seorang Muslim.

Amalan Harian Seorang Muslim.




  • Mendirikan solat Fardu 5 kali sehari
  • Membaca dan mengkaji Al-Quran
  • Mendirikan solat-solat Sunat seperti Tahajjud, Taubat, Hajat, sebelum dan selepas solat fardu, Dhuha dan Witir
  • Mengingati Allah seperti membaca zikir Al-Mathurat, istighfar, tahmid dan tahlil
  • Mengingati mati
  • Mencari rezeki yang halal
  • Mendidik anak-anak
  • Menguruskan rumah-tangga
  • Menuntut ilmu
  • Melaksanakan akhlak mulia
  • Menjauhi sifat-sifat yang dikeji
  • Melaksanakan da'wah
  • Mengikuti sunnah Nabi dalam melakukan suatu perkara
  • Membaca doa dalam setiap perbuatan yang harus.

Artikel------ http://bakib.weebly.com/

Sunday 6 July 2014

Amalan-Amalan Yang Digalakkan Di Dalam Bulan Ramadhan.

Amalan-Amalan Yang Digalakkan Di Dalam Bulan Ramadhan.
Bulan ramadhan, Amalan Bulan Ramadhan
Google Image
Assalamualaikum semua. Kedatangan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini memang dinanti-nantikan oleh semua umat islam di dunia ini. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan penuh dengan pengampunan.

Kita juga digalakkan untuk menambahkan amalan ibadah kita untuk mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah swt.

Di bawah ini disertakan beberapa malan-amalan yang amat digalakkan kepada kita semua sepanjang bulan Ramadhan ini.

1. Membaca 1 juzuk al-Quran(minima) Sehari

Untuk menghabis 1 juzuk al-Quran sebanyak 20 muka surat, memerlukan maksimum 1 jam luangan masa, bergantung kepada kefasihan anda membaca al-Quran.
Kita solat fardhu sebanyak 5 kali sehari. Maka, setiap kali lepas solat saya sarankan anda membaca 4 muka surat al-Quran.
Pada hari pertama puasa setelah subuh, mulakan baca 4 muka surat. Begitu juga seterusnya pada solat yang berikutnya. Maka menghasilkan sebanyak 20 muka surat setelah Isyak.
Pada hari pertama anda telah menghabiskan 1 juzuk.
Info : 1 hari 1 juzuk, 30 hari 30 juzuk. Khatam!

Frequently Asked Question(FAQ):

Q : Saya lepas solat, selalunya ada kerja. Bagaimana ya untuk meluangkan masa?
A : Kita biasa bekerja pada siang hari. Maka saya sarankan setelah subuh, baca 4 muka surat. Selepas zuhur, baca 2 sahaja, begitu juga setelah asar. Sekarang tinggal 12 muka surat. Anda boleh membahagikan 6 setelah Maghrib dan baki 6  setelah Isyak. Jika terlampau sibuk sekalipun, cuba ‘Qadha’ kan bacaan al-Quran. Bermaksud, anda luangkan masa Isyak anda membaca selebihnya muka surat al-Quran.

Pada hari pertama, memang kita akan rasa tidak bersemangat. Setelah tamat baca, tandakan dengan tali yang biasa keluar daripada al-Quran itu(Tali penanda). Kemudian, anda lihat al-Quran anda daripada bawahnya(di mana tali penanda itu terkeluar). Anda pasti kagum, hari pertama anda sudah baca 20 muka surat!

“Wah, alhamdulillah! Hari ini sudah sebanyak ini aku baca!”

Maka lafazlah syukur kepada Allah s.w.t.


2. Memperbanyakkan Sedekah
Pada bulan Ramadhan, saya menggalakkan anda bersedekah. Tujuan kita berpuasa  adalah untuk sama-sama merasa kesusahan orang miskin yang tidak makan sepanjang hari.
Maka berilah sedekah kepada orang miskin. Seperti mana anda tidak sabar untuk berbuka puasa, begitu jugalah sahabat-sahabat kita yang tidak bernasib baik. Berilah mereka kegembiraan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.
Berkata Ulama’:
Sedekah itu tidak memiskinkan kamu, tetapi membuka pintu rezeki kamu lebih luas. Maka bersedekahlah.


3. Menuntut Ilmu

Kepada sahabat-sahabat yang terluang masa, saya sarankan anda turun menuntut ilmu. Pergilah berjumpa guru-guru yang bertauliah, belajarlah al-Quran dan sebagainya. Jika terdapat majlis ilmu, maka sertailah.
Sesiapa yang memberi alasan tidak dapat menuntut ilmu, itu  bukan bermakna anda terhalang oleh urusan anda, tetapi Allah s.w.t TIDAK MAHU anda dalam majlis ilmu, naudzubillah!
Di dalam bulan Ramadhan, pasti ada banyak majlis ilmu. Menonton televisyen berunsurkan ilmu juga bermanfaat.
Berpesan Imam Syafie:
Jika kamu tidak merasa keperitan menuntut ilmu, maka rasalah keperitan dalam kebodohan.


4. Berdzikir

Sementara banyak masa yang terluang, maka gunakanlah sebaiknya untuk berdzikir. Dzikir tidak semestinya melafazkan kalimah-kalimah dzikir. Maksud dzikir adalah mengingati Allah s.w.t., maka jika menuntut ilmu mengingatkan anda kepada Allah, tuntutlah ilmu. Jika solat mengingatkan anda kepada Allah, solatlah. Jika melafazkan tasbih dan tahmid mengingatkan anda kepada Allah, lakukanlah.
 
5. Solat Tarawih

Solat sunat tarawih adalah Sunat Muakkad yang bermaksud amalan yang dituntut  untuk dilaksanakan dan besar pahalanya, di bawah taraf wajib.
Maka kutiplah sebanyak mana pahala yang mungkin, kita tidak pasti Ramadhan hadapan kita dapat sambut ataupun tidak.


6. Qiyammullail

Qiyamullail turut digalakkan. Qiyamullail bermaksud bangun di malam hari untuk melaksanakan solat sunat tahajjud dan ibadat-ibadat sunat. Ini termasuk sunnah baginda Muhammad s.a.w.
Antara amalan pada Qiyamullail adalah solat sunat tahajjud, solat sunat hajat, menghafal al-Quran dan berdzikir serta refleksi diri.


7. Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Amar Ma’ruf Nahi Mungkar pada zaman ini tidak semestinya perlu keluar berdakwah. Kita sudah mempunyai laman facebook dan twitter. Gunakan sebaiknya.
Anda boleh sahaja memberikan nasihat dan perkongsian ilmu yang sahih. Elakkan mengeluarkan ilmu ciptaan atau ilmu yang tidak ada asal usul.
Perkongsian al-Quran dan hadis adalah amat ketat syaratnya. Anda perlu tahu sanadnya, dan juga perlu tahu perawinya. Paling baik adalah anda mempunyai kitab al-Quran dan hadis yang benar. Ataupun anda bertanyalah kepada ulama’ ilmu yang ilmunya diakui oleh ulama’-ulama’ lain. Mintalah nasihat daripada ulama’, pasti mereka akan memberikan nasihat yang bermanfaat.
 
 
 

Saturday 5 July 2014

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA.


PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA.
Assalamualaikum semua. Selamat berpuasa diucapkan. Sempena kedatangan bulan yang penuh barakah ini marilah kita semua tingkatkan amal ibadah kita untuk terus mencari keredhaan Allah swt.

Bulan Ramadhan ini kita berpuasa selama sebulan.  Kadang kala tanpa kita sedari kita mungkin akan terbatal puasa kita tanpa kita sedari. Mungkin ramai juga di kalangan kita kurang arif tentang bagaimana boleh terbatalnya puasa kita.

Di bawah ini disertakan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa kita.

Puasa akan batal dengan salah satu daripada perkara-perkara di bawah ini :
  • Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.

  • Memasukkan sesuatu ke dalam dubur (jalan belakang) atau qubul (jalan depan) dengan sengaja.

  • Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa).

  • Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak mengeluarkan mani.

  • Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk cium dan sebagainya.

  • Kedatangan haid atau nifas.

  • Gila sekalipun hanya sekejap masa.

  • Mabuk atau pengsan sepanjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

  • Bersalin.

  • Murtad-iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hati, perkataan atau perbuatan.
     
     
     
     

PUASA DARI SUDUT KESIHATAN.

Google Image

TIDAK seorang pun ahli perubatan daripada kalangan Muslim mahupun bukan Muslim meragukan mengenai manfaat berpuasa bagi kesihatan manusia.

Menurut buku berjudul Pemeliharaan Kesihatan dalam Islam karya Mahmud Ahmad Najib (Pensyarah Fakulti Kedoktoran Universiti Ain Syams Mesir), ditegaskan bahawa berpuasa sangat berguna dan bermanfaat bagi kesihatan.

Di antara manfaat tersebut, berpuasa dapat memperkecil peredaran darah sebagai perimbangan untuk mencegah keluarnya keringat dan wap melalui pori-pori kulit serta saluran kencing tanpa perlu menggantikannya.

Menurut beliau, curah jantung yang mengagihkan darah ke seluruh pembuluh darah akan membuat peredaran darah menurun. Dengan itu memberi kesempatan otot jantung masa untuk rehat setelah bekerja keras setahun lamanya.

Berpuasa memberi kesempatan kepada organ jantung untuk memperbaiki tenaga dan kekuatan sel seseorang.

Selain itu, menurutnya lagi, berpuasa memberi kesempatan kepada alat-alat pencernaan untuk beristirehat kerana ketika seseorang berpuasa, perut dan ususnya berehat selama beberapa jam daripada kegiatannya.

Proses penyerapan makanan juga berhenti sehingga asam amoniak, glukos dan garam tidak masuk ke usus. Dengan itu sel-sel usus tidak mampu menghasilkan komposisi glikogen, protein dan kolestrol.

Sementara itu, seorang pakar dari Amerika Syarikat, Allan Cott, M.D. telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan pelbagai negara dalam buku berjudul Why Fast? yang memaparkan sejumlah hikmah puasa.

Antara lain memunculkan perasaan lebih baik secara fizikal dan mental, membersihkan tubuh, menurunkan tekanan darah dan kadar lemak, menjadikan badan sihat dengan sendirinya, menumbuhkan kemampuan mengendalikan diri sendiri dan melambatkan proses penuaan.

Lebih jauh, dunia ilmiah telah membuktikan bahawa proses detoksifikasi ketika berpuasa, seperti dipaparkan praktis dan pengkajian kedoktoran nabi, Dr. Mohammad Ali Toha Assegaf, dalam buku berjudul, 365 Tips Sihat ala Rasulullah, menuliskan, pada kekotoran (feces) dan air seni orang yang berpuasa ditemukan racun organophosphat. Bahan racun tersebut disimpan dalam sel-sel adipose (lemak) dalam tubuh yang mengalami pembongkaran dengan cepat ketika seseorang berpuasa.

Diceritakan kisah seorang tabib yang diutus oleh Raja Mesir, Muqauqis kepada Rasulullah SAW sebagai bentuk solidariti sosial untuk mengubati penduduk Madinah secara percuma. Namun ternyata tidak seorang pun pesakit datang berubat kepadanya setelah tabib itu bermukim beberapa lama di Madinah.

Setelah melakukan peninjauan terhadap penduduk Madinah, ia tidak menemukan seorang pun penduduk yang tidak sihat. Akhirnya tabib itu memutuskan untuk meninggalkan Madinah kerana ia merasa tak ada yang perlu diubati di sana.

Ketika meminta izin kepada Rasulullah SAW, ia mengutarakan kekagumannya pada pola hidup kaum Muslimin, sambil berkata, "Tuan, izinkan kami mengetahui rahsia apakah yang menyebabkan tidak seorang pun mengeluh sakit di sini?"

Rasulullah SAW menjawab: "Kami kaum yang tidak makan hingga kami merasa lapar dan ketika makan kami tidak (makan sampai) kenyang." (riwayat Abu Daud).

Kesihatan berkait rapat dengan pola makanan. Melalui hadis di atas, kita diajarkan untuk tidak berlebihan memasukkan makanan ke dalam sistem cernanya.

Lebih-lebih lagi al-Quran memerintahkan hal yang sama dengan firman-Nya bermaksud: Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah kamu berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (al-'Araf: 31)

Sebuah hadis daripada Miqdam bin Ma'dikariba menegaskan hal itu. Ia berkata,

"Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tidak ada bejana yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah baginya memakan beberapa suap untuk sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak dapat demikian, maka hendaklah ia menjadikan sepertiga lambungnya untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga untuk udara (pernafasan)." (riwayat at-Tirmizi)

Nyata sekali di sini bahawa hakikat puasa semakin terbuka rahsianya sebagai suatu mukjizat ilmiah dan keperluan kemanusiaan.

Fakta kebenaran ini akan terus tersingkap lebih banyak lagi seiring dengan peningkatan pengetahuan, sains dan teknologi manusia mengenai hukum-hukum penciptaan Allah SWT ke atas alam semesta.

SUMBER

Tuesday 20 May 2014

VIDEO SELAWAT MURAH REZEKI.

VIDEO SELAWAT MURAH REZEKI.


Video ini memaparkan selawat semoga dimurahkan rezeki.




VIDEO ZIKIR PENENANG DAN SUCI HATI.

VIDEO ZIKIR PENENANG DAN SUCI HATI.

Betapa sedihnya hati ini bila mendengar zikir untuk ketenangan dan menyucikan hati kita ini. Marilah kita sama-sama amalkan.



Copyright @ 2013 Amalan Di Dunia..