Sunday 6 July 2014

Amalan-Amalan Yang Digalakkan Di Dalam Bulan Ramadhan.

Amalan-Amalan Yang Digalakkan Di Dalam Bulan Ramadhan.
Bulan ramadhan, Amalan Bulan Ramadhan
Google Image
Assalamualaikum semua. Kedatangan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini memang dinanti-nantikan oleh semua umat islam di dunia ini. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan penuh dengan pengampunan.

Kita juga digalakkan untuk menambahkan amalan ibadah kita untuk mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah swt.

Di bawah ini disertakan beberapa malan-amalan yang amat digalakkan kepada kita semua sepanjang bulan Ramadhan ini.

1. Membaca 1 juzuk al-Quran(minima) Sehari

Untuk menghabis 1 juzuk al-Quran sebanyak 20 muka surat, memerlukan maksimum 1 jam luangan masa, bergantung kepada kefasihan anda membaca al-Quran.
Kita solat fardhu sebanyak 5 kali sehari. Maka, setiap kali lepas solat saya sarankan anda membaca 4 muka surat al-Quran.
Pada hari pertama puasa setelah subuh, mulakan baca 4 muka surat. Begitu juga seterusnya pada solat yang berikutnya. Maka menghasilkan sebanyak 20 muka surat setelah Isyak.
Pada hari pertama anda telah menghabiskan 1 juzuk.
Info : 1 hari 1 juzuk, 30 hari 30 juzuk. Khatam!

Frequently Asked Question(FAQ):

Q : Saya lepas solat, selalunya ada kerja. Bagaimana ya untuk meluangkan masa?
A : Kita biasa bekerja pada siang hari. Maka saya sarankan setelah subuh, baca 4 muka surat. Selepas zuhur, baca 2 sahaja, begitu juga setelah asar. Sekarang tinggal 12 muka surat. Anda boleh membahagikan 6 setelah Maghrib dan baki 6  setelah Isyak. Jika terlampau sibuk sekalipun, cuba ‘Qadha’ kan bacaan al-Quran. Bermaksud, anda luangkan masa Isyak anda membaca selebihnya muka surat al-Quran.

Pada hari pertama, memang kita akan rasa tidak bersemangat. Setelah tamat baca, tandakan dengan tali yang biasa keluar daripada al-Quran itu(Tali penanda). Kemudian, anda lihat al-Quran anda daripada bawahnya(di mana tali penanda itu terkeluar). Anda pasti kagum, hari pertama anda sudah baca 20 muka surat!

“Wah, alhamdulillah! Hari ini sudah sebanyak ini aku baca!”

Maka lafazlah syukur kepada Allah s.w.t.


2. Memperbanyakkan Sedekah
Pada bulan Ramadhan, saya menggalakkan anda bersedekah. Tujuan kita berpuasa  adalah untuk sama-sama merasa kesusahan orang miskin yang tidak makan sepanjang hari.
Maka berilah sedekah kepada orang miskin. Seperti mana anda tidak sabar untuk berbuka puasa, begitu jugalah sahabat-sahabat kita yang tidak bernasib baik. Berilah mereka kegembiraan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.
Berkata Ulama’:
Sedekah itu tidak memiskinkan kamu, tetapi membuka pintu rezeki kamu lebih luas. Maka bersedekahlah.


3. Menuntut Ilmu

Kepada sahabat-sahabat yang terluang masa, saya sarankan anda turun menuntut ilmu. Pergilah berjumpa guru-guru yang bertauliah, belajarlah al-Quran dan sebagainya. Jika terdapat majlis ilmu, maka sertailah.
Sesiapa yang memberi alasan tidak dapat menuntut ilmu, itu  bukan bermakna anda terhalang oleh urusan anda, tetapi Allah s.w.t TIDAK MAHU anda dalam majlis ilmu, naudzubillah!
Di dalam bulan Ramadhan, pasti ada banyak majlis ilmu. Menonton televisyen berunsurkan ilmu juga bermanfaat.
Berpesan Imam Syafie:
Jika kamu tidak merasa keperitan menuntut ilmu, maka rasalah keperitan dalam kebodohan.


4. Berdzikir

Sementara banyak masa yang terluang, maka gunakanlah sebaiknya untuk berdzikir. Dzikir tidak semestinya melafazkan kalimah-kalimah dzikir. Maksud dzikir adalah mengingati Allah s.w.t., maka jika menuntut ilmu mengingatkan anda kepada Allah, tuntutlah ilmu. Jika solat mengingatkan anda kepada Allah, solatlah. Jika melafazkan tasbih dan tahmid mengingatkan anda kepada Allah, lakukanlah.
 
5. Solat Tarawih

Solat sunat tarawih adalah Sunat Muakkad yang bermaksud amalan yang dituntut  untuk dilaksanakan dan besar pahalanya, di bawah taraf wajib.
Maka kutiplah sebanyak mana pahala yang mungkin, kita tidak pasti Ramadhan hadapan kita dapat sambut ataupun tidak.


6. Qiyammullail

Qiyamullail turut digalakkan. Qiyamullail bermaksud bangun di malam hari untuk melaksanakan solat sunat tahajjud dan ibadat-ibadat sunat. Ini termasuk sunnah baginda Muhammad s.a.w.
Antara amalan pada Qiyamullail adalah solat sunat tahajjud, solat sunat hajat, menghafal al-Quran dan berdzikir serta refleksi diri.


7. Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Amar Ma’ruf Nahi Mungkar pada zaman ini tidak semestinya perlu keluar berdakwah. Kita sudah mempunyai laman facebook dan twitter. Gunakan sebaiknya.
Anda boleh sahaja memberikan nasihat dan perkongsian ilmu yang sahih. Elakkan mengeluarkan ilmu ciptaan atau ilmu yang tidak ada asal usul.
Perkongsian al-Quran dan hadis adalah amat ketat syaratnya. Anda perlu tahu sanadnya, dan juga perlu tahu perawinya. Paling baik adalah anda mempunyai kitab al-Quran dan hadis yang benar. Ataupun anda bertanyalah kepada ulama’ ilmu yang ilmunya diakui oleh ulama’-ulama’ lain. Mintalah nasihat daripada ulama’, pasti mereka akan memberikan nasihat yang bermanfaat.
 
 
 

Saturday 5 July 2014

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA.


PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA.
Assalamualaikum semua. Selamat berpuasa diucapkan. Sempena kedatangan bulan yang penuh barakah ini marilah kita semua tingkatkan amal ibadah kita untuk terus mencari keredhaan Allah swt.

Bulan Ramadhan ini kita berpuasa selama sebulan.  Kadang kala tanpa kita sedari kita mungkin akan terbatal puasa kita tanpa kita sedari. Mungkin ramai juga di kalangan kita kurang arif tentang bagaimana boleh terbatalnya puasa kita.

Di bawah ini disertakan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa kita.

Puasa akan batal dengan salah satu daripada perkara-perkara di bawah ini :
  • Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.

  • Memasukkan sesuatu ke dalam dubur (jalan belakang) atau qubul (jalan depan) dengan sengaja.

  • Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa).

  • Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak mengeluarkan mani.

  • Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk cium dan sebagainya.

  • Kedatangan haid atau nifas.

  • Gila sekalipun hanya sekejap masa.

  • Mabuk atau pengsan sepanjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

  • Bersalin.

  • Murtad-iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hati, perkataan atau perbuatan.
     
     
     
     

PUASA DARI SUDUT KESIHATAN.

Google Image

TIDAK seorang pun ahli perubatan daripada kalangan Muslim mahupun bukan Muslim meragukan mengenai manfaat berpuasa bagi kesihatan manusia.

Menurut buku berjudul Pemeliharaan Kesihatan dalam Islam karya Mahmud Ahmad Najib (Pensyarah Fakulti Kedoktoran Universiti Ain Syams Mesir), ditegaskan bahawa berpuasa sangat berguna dan bermanfaat bagi kesihatan.

Di antara manfaat tersebut, berpuasa dapat memperkecil peredaran darah sebagai perimbangan untuk mencegah keluarnya keringat dan wap melalui pori-pori kulit serta saluran kencing tanpa perlu menggantikannya.

Menurut beliau, curah jantung yang mengagihkan darah ke seluruh pembuluh darah akan membuat peredaran darah menurun. Dengan itu memberi kesempatan otot jantung masa untuk rehat setelah bekerja keras setahun lamanya.

Berpuasa memberi kesempatan kepada organ jantung untuk memperbaiki tenaga dan kekuatan sel seseorang.

Selain itu, menurutnya lagi, berpuasa memberi kesempatan kepada alat-alat pencernaan untuk beristirehat kerana ketika seseorang berpuasa, perut dan ususnya berehat selama beberapa jam daripada kegiatannya.

Proses penyerapan makanan juga berhenti sehingga asam amoniak, glukos dan garam tidak masuk ke usus. Dengan itu sel-sel usus tidak mampu menghasilkan komposisi glikogen, protein dan kolestrol.

Sementara itu, seorang pakar dari Amerika Syarikat, Allan Cott, M.D. telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan pelbagai negara dalam buku berjudul Why Fast? yang memaparkan sejumlah hikmah puasa.

Antara lain memunculkan perasaan lebih baik secara fizikal dan mental, membersihkan tubuh, menurunkan tekanan darah dan kadar lemak, menjadikan badan sihat dengan sendirinya, menumbuhkan kemampuan mengendalikan diri sendiri dan melambatkan proses penuaan.

Lebih jauh, dunia ilmiah telah membuktikan bahawa proses detoksifikasi ketika berpuasa, seperti dipaparkan praktis dan pengkajian kedoktoran nabi, Dr. Mohammad Ali Toha Assegaf, dalam buku berjudul, 365 Tips Sihat ala Rasulullah, menuliskan, pada kekotoran (feces) dan air seni orang yang berpuasa ditemukan racun organophosphat. Bahan racun tersebut disimpan dalam sel-sel adipose (lemak) dalam tubuh yang mengalami pembongkaran dengan cepat ketika seseorang berpuasa.

Diceritakan kisah seorang tabib yang diutus oleh Raja Mesir, Muqauqis kepada Rasulullah SAW sebagai bentuk solidariti sosial untuk mengubati penduduk Madinah secara percuma. Namun ternyata tidak seorang pun pesakit datang berubat kepadanya setelah tabib itu bermukim beberapa lama di Madinah.

Setelah melakukan peninjauan terhadap penduduk Madinah, ia tidak menemukan seorang pun penduduk yang tidak sihat. Akhirnya tabib itu memutuskan untuk meninggalkan Madinah kerana ia merasa tak ada yang perlu diubati di sana.

Ketika meminta izin kepada Rasulullah SAW, ia mengutarakan kekagumannya pada pola hidup kaum Muslimin, sambil berkata, "Tuan, izinkan kami mengetahui rahsia apakah yang menyebabkan tidak seorang pun mengeluh sakit di sini?"

Rasulullah SAW menjawab: "Kami kaum yang tidak makan hingga kami merasa lapar dan ketika makan kami tidak (makan sampai) kenyang." (riwayat Abu Daud).

Kesihatan berkait rapat dengan pola makanan. Melalui hadis di atas, kita diajarkan untuk tidak berlebihan memasukkan makanan ke dalam sistem cernanya.

Lebih-lebih lagi al-Quran memerintahkan hal yang sama dengan firman-Nya bermaksud: Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah kamu berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (al-'Araf: 31)

Sebuah hadis daripada Miqdam bin Ma'dikariba menegaskan hal itu. Ia berkata,

"Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tidak ada bejana yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah baginya memakan beberapa suap untuk sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak dapat demikian, maka hendaklah ia menjadikan sepertiga lambungnya untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga untuk udara (pernafasan)." (riwayat at-Tirmizi)

Nyata sekali di sini bahawa hakikat puasa semakin terbuka rahsianya sebagai suatu mukjizat ilmiah dan keperluan kemanusiaan.

Fakta kebenaran ini akan terus tersingkap lebih banyak lagi seiring dengan peningkatan pengetahuan, sains dan teknologi manusia mengenai hukum-hukum penciptaan Allah SWT ke atas alam semesta.

SUMBER

Copyright @ 2013 Amalan Di Dunia..