Para ulama bersepakat syurga itu terletak di atas dari langit yang ketujuh.
Dalam
surah An-Majm ayat 13-15 Allah berfirman: "Sesungguhnya ia (Muhammad)
telah melihat Jibril sekali lagi, iaitu di Sidratul Muntaha, dan di
dekatnya ada syurga tempat kembali."
Ketika Rasulullah dalam
perjalanan Mikraj, Baginda telah berhenti di Sidratul Muntaha. Menurut
baginda, Sidratul Muntaha itu berada jauh di luar alam langit (di luar
ruang angkasa). Di situlah Baginda dapati terletaknya syurga.
Kemudian dikatakan syurga itu luasnya seluas langit dan bumi sebagaimana difirmankan Allah dalam surah Ali Imran ayat 133:
"Kejarlah
oleh kamu ampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan
bumi disediakan bagi orang-orang yang bertakwa."
Ayat di atas memberi pengertian
bahawa sungai-sungai di syurga bukanlah mengandungi air-air biasa
seperti di dunia ini, sebaliknya ada sungai yang berair susu, ada yang
berair anggur (arak) yang tidak memabukkan, ada yang dari madu dan
sebagainya. Sungai-sungai ini semuanya mengalir dengan tenang melalui
rumah-rumah di syurga, di kebun-kebun dan di celah-celah pokok. Bahkan
terdapat juga mata-mata air yang mengalir.
Jadi Allah telah menjanjikan bagi orang yang bertakwa itu sungai yang airnya mempunyai ciri-ciri sebagai berikut:
= Airnya tidak berubah rasa dan baunya.
= Air susu yang tidak berubah rasa dan warnanya
= Air anggur (arak) yang lazat dan tidak memabukkan bagi peminumnya.
= Madu yang disaring
Sewaktu
Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. pernah melihat sungai yang
dinamakan Al-Kausar. Sungai ini dilingkari oleh bukit-bukit yang terdiri
dari permata-permata dan tanahnya dari wewangian yang paling wangi.
Tepian sungai ini terdiri dari emas sedangkan anak-anak batunya dari
mutiara.
Barangsiapa meminum air dari Al-Kausar ini walau hanya satu kali sahaja, dia tidak merasa haus untuk selama-lamanya.
Tentang
nama-nama sungai di syurga, tidak ada disebut dengan jelas di dalam
al-Quran. Tetapi dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi
bersabda:
"Bahawasanya di syurga terdapat suatu sungai yang disebut
sungai rajab, airnya lebih putih daripada air susu dan rasanya lebih
manis daripada madu. Sesiapa yang puasa satu hari dari bulan Rajab, maka
Allah memberikan minuman dari sungai itu."
Yang jelas sungai
yang bersama Rajab dengan sifat-sifatnya yang luar biasa ini belum
pernah dilihat dan dirasakan airnya oleh manusia di dunia ini. Walau
bagaimanapun di dalam keterangan-keterangan lain disebutkan bahawa di
syurga ada sungai-sungai seperti Al-Kausar dan Al-Firdaus.
Tentang
Al-Kausar, Anas r.a. ada bercerita bahawa Rasulullah s.a.w. tidur di
atas tikar jerami, tiba-tiba sambil mengangkat kepalanya Baginda
tersenyum. Anas bertanya: "Mengapa engkau tertawa ya Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Ayat yang diturunkan kepadaku tadi (yang bermaksud):
"Sesungguhnya
Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak (Al-Kausar), maka
dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah. Sesungguhnya
orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus." (Al-Kausar:
1-2-3).
Kemudian Baginda bertanya: "Adakah engkau tahu apa itu
Al-Kausar?" Anas menjawab: "Allah dan RasulNya yang lebih tahu." Lalu
Rasul menerangkan: "Al-Kausar itu satu sungai yang dijanjikan kepadaku
oleh Allah, pada sungai itu banyak kebajikan. Di atasnya sebuah kolam
(Al-Haudi) yang akan datang umatku kepadanya. Bejananya banyak sebanyak
bintang-bintang di langit." (Riwayat Muslim).
Seterusnya Imam
At-Termizi meriwayatkan, Nabi bersabda: "Bahawa masing-masing nabi itu
mempunyai kolam. Mereka ini bangga membanggakan manakah yang lebih
banyak orang datang. Dan aku mengharap, bahawa adalah aku yang terbanyak
orang datang."
Mendengar tentang banyaknya kenikmatan yang
terdapat pada Al-Kausar ini, tentu banyak di antara kita yang berharap
untuk dapat menjadi golongan orang-orang yang dapat datang ke tempat
tersebut. Agar harapan ini menjadi nyata, hendaklah kita berusaha
mencari keredhaan Allah dalam kehidupan ini dari segala segi.
Syurga itu Bertingkat-Tingkat
Syurga
itu bertingkat-tingkat dan setiap tingkat berbeza-beza pula. Jarak
antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti jarak antara
bumi dan langit. Adapun tingkatan syurga yang paling tinggi darjatnya
dinamakan "Al-Firdaus". Di atas Al-Firdaus inilah terletak "Arsy Rahman
(Mahligai Tuhan).
Selain itu, keistimewaan syurga Al-Firdaus
ialah para penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam
sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Sedangkan nikmat yang tertinggi
di dalam syurga ialah apabila manusia dapat menatap wajah Allah.
Adapun
cara melihat Allah bukanlah seperti halnya kita melihat dengan mata
biasa seperti yang lazim berlaku, tetapi caranya ialah dengan
penglihatan mata yang telah ditentukan Allah buat para penduduk syurga.
Segala
yang ada di syurga itu indah-indah belaka jauh lebih indah dari apa
yang ada di atas muka bumi ini. Tetapi yang terindah di syurga ialah
pandangan terhadap Allah, tidak sesuatu kenikmatan lain yang dapat
melebihi keistimewaannya.
Cuba kita bayangkan di dunia ini
sahaja, kalaulah kita diberikan kesempatan bertemu dan berbual-bual
dengan salah seorang pemimpin negara, tentu kita akan sangat gembira dan
bahagia dengan pengalaman tersebut. Inikan pula akan bertemu dengan
Allah yang menciptakan dunia ini.
Firman Allah dalam surah Al-Qiyamah ayat 22-23 yang bermaksud:
"Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat"
Rasulullah
pernah bertanya kepada Jibril: "Hai Jibril pernahkah kau melihat
Allah?" jawab Jibril pernahkah kau melihat Allah?" jawab Jibril: "Bahawa
di antara saya dan Tuhan ada 79 tutup yang terdiri dari lapisan-lapisan
cahaya. Bila terbuka tutup yang paling luar, maka akan terbakarlah aku
memandangNya. Sedangkan antara engkau dan Tuhan ada 71 lapisan tutup
dari cahaya. Bila terbuka tutup yang paling luar, engkau akan terbakar
pula memandangnya."
Dalam hal ini pernah Nabi Musa a.s. meminta
kepada Allah untuk melihatNya. Tetapi baru sahaja Allah menunjukkan diri
kepada gunung, gunung itu bergegar dan hancur sehingga Musa jatuh
pengsan. Ini membuktikan gunung yang bagaimana juga kukuhnya akan hancur
bila Tuhan menunjukkan diriNya, inikan pula manusia yang lemah.
Kemudian dalam satu riwayat lain digambarkan syurga itu sebagai berikut :
= Tingkatan syurga pertama yang dibuat dari bahan perak baik kampung,rumah, pintu dan kuncinya.
= Tingkatan syurga kedua yang dibuat dari bahan emas baik kampung,rumah, pintu dan kuncinya.
= Tingkatan syurga ketiga yang kampung, rumah, pintu dan kuncinya dibuat dari bahan yakut dan lukluk (mutiara).
Taman-Taman Di Syurga
Allah
menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada
orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di
syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan
didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.
Kalau di dunia ini kita selalu melihat macam-macam taman yang
dihiasi indah dengan aneka macam tumbuhan dan bermacam-macam bunga, di
situ kita boleh menghabiskan masa berjam-jam sambil menikmati
keindahannya juga mencari ketenangan. Maka begitu juga di syurga, Allah
menciptakan taman-taman bagi penghuninya.
Ada dua bentuk taman
di syurga: (1) Dua taman yang dicipta Allah dari perak dengan segala apa
yang ada padanya. (2) Dua taman yang dicipta Allah dari emas dengan
segala apa yang ada padanya. (Riwayat Bukhari Muslim).
Pada
taman-taman ini terdapat bermacam-macam buah-buahan sama ada kurma
ataupun delima, air mata air dan sungai yang terus-menerus mengalir
airnya dengan tenang.
At-Tabrani meriwayatkan bahawa di
taman-taman tersebut ada pohon-pohon yang rendang, besar, tinggi dan
luas. Bila bidadari-bidadari bernyanyi di bawahnya, daun-daun dan
ranting-ranting pohon-pohon itu bergerak-gerak sambil mengeluarkan
bunyi-bunyian yang amat merdu pula.
Apabila angin berhembus lalu
menyentuh daun dan ranting, maka akan terdengar desiran yang amat merdu
pula. Sehingga tidak dapat dibanding manakah yang lebih merdu antara
suara bidadari-bidadari atau bunyi desiran pohon-pohon tersebut.
Pintu-Pintu Syurga
Sebelum
masuk ke syurga, penghuni-penghuninya akan melalui pintu-pintu syurga
terlebih dahulu. Pintu-pintu ini ada bermacam-macam pula jenisnya. Hal
ini disebutkan di dalam al-Quran Surah Shaad ayat 49-50 yang bermaksud:
"Ini
adalah kehormatan bagi mereka dan sesungguhnya bagi orang-orang yang
bertakwa benar-benar (disediakan) tempat kembali yang baik, (iaitu)
syurga dan yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka."
Kemudian Abu Hurairah ada meriwayatkan sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Dan
bagi syurga itu lapan pintu. Maka siapa yang termasuk dari orang yang
menegakkan ibadah sembahyang, dia akan dipanggil dari pintu sembahyang.
Bagi orang berpuasa ia akan dipanggil dari pintu puasa. Orang yang
brsedekah akan dipanggil dari pintu sedekah. Dan yang berjihad akan
dipanggil dari pintu jihad." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh
kerana itu kalau seorang semasa hidupnya benar-benar melaksanakan segala
hal yang disebut tadi, maka ia akan dipanggil untuk masuk melalui ke
semua pintu-pintu tersebut.
Adapun pintu syurga bagi orang yang
melakukan ibadah puasa dinamakan Ar-Rayyan. Sedangkan setiap Muslim yang
pernah kematian tiga orang anak-anaknya yang masih kecil diberi
kebebasan untuk masuk ke syurga melalui pintu mana sahaja yang
disukainya.
Penghuni-penghuni syurga setiap orang mempunyai
pintu-pintu tersendiri. Satu pintu untuk tempat masuknya sendiri. Satu
untuk isterinya. Satu untuk tamu-tamu (malaikat dan kawan-kawannya).
Satu menuju ke neraka untuk rasa nikmat Allah atas dirinya, dan satu
pintu ke Arsy (Mahligai Allah untuk melihat wajah Allah).
Dalam buku "Ahli Syurga dan kenikmatannya" diterangkan, selain yang tersebut di atas ada lagi pintu-pintu yang diberi nama :
= Pintu para rasul dan nabi
= Pintu zakat
= Pintu haji
= Pintu syahadat dan selawat
= Pintu syuhada
= Pintu salihin
= Pintu siddiqin
= Pintu ilmu dan iman
= Pintu rahmat
= Pintu taubat
Dalam hadis riwayat Bukhari-Muslim, Rasulullah bersabda:
"Demi Allah, demi antara dua ambang pintu syurga itu bagaikan jarak antara Makkah dan Basrah."
Jelaslah pada kita betapa luasnya pintu-pintu yang terdapat di dalam syurga.
Bilik-Bilik, Rumah dan Istana di Syurga
Untuk
lebih menyeronokkan lagi, maka pada penghuni-penghuni syurga diberikan
bilik-bilik khas, rumah dan istana yang dibuat dari permata-permata yang
tembus dipandang mata seperti kaca. Di dalamnya penuh dengan kenikmatan
dan kelazatan yang tidak pernah dilihat mata serta didengar telinga.
Pernah
pada suatu hari para sahabat bertanya kepada Rasulullah: "Untuk
siapakah Allah menyediakan bilik-bilik seperti itu ya Rasulullah?"
Rasulullah
menjawab: "Bagi mereka yang menyebarkan salam, menyumbangkan makanan,
terus berpuasa dan berjaga malam mengerjakan sembahyang sedangkan orang
lain tidur nyenyak."
Lalu sahabat-sahabat bertanya lagi : "Siapakah yang tahan dan sanggup berbuat demikian ya Rasulullah?"
Jawab
Baginda lagi: "Umatku! Dengarlah ...sesiapa yang bertemu sesama Muslim
lalu ia memberi salam, itu bererti telah menyebarkan salam. Barang siapa
yang memberi makan anak-anak dan isterinya sampai kenyang, bererti ia
telah menyumbangkan makanan. Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan
dan ditambah dengan tiga hari pada setiap bulan, itu bererti ia terus
menerus berpuasa. Dan sesiapa yang menunaikan sembahyang Isyak terakhir
dengan berjemaah, bererti dia telah bersembahyang malam sedang manusia
tidur." (Riwayat Abu Naim dari Jabir).
Bagi penghuni syurga ini, disediakan bilik-bilik sebagaimana yang dijanjikan Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 20:
"Tetapi
orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya mereka mendapat tempat-tempat
yang tinggi, di atasnya dibangun pula tempat-tempat yang tinggi yang di
bawahnya mengalir sungai-sungai. Allah telah berjanji dengan
sebenar-benarnya. Allah tidak akan memungkiri janjinya."
Kemudian di dalam firmanNya Surah Muhammad ayat 6 yang bermaksud:
"Dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenankanNya kepada mereka."
Selain
menerangkan keadaan bilik-bilik di syurga, ayat di atas juga
menerangkan bahawa setiap orang yang masuk ke syurga itu mengetahui
tempat mereka masing-masing tanpa perlu ditunjuk seolah-olah (bilik
rumah dan istana-istana itu) sudah lama dikenalinya.
Kemudian dalam surah Al-Furqan ayat 10, Allah berfirman:
"Maha
suci (Allah) yang jika Dia menghendaki, nescaya dijadikanNya bagimu
yang lebih baik dari yang demikian, (iaitu) syurga yang mengalir
sungai-sungai di bawahnya, dan dijadikanNya (pula) untukmu
istana-istana."
Ayat ini mengisyaratkan bahawa di dalam syurga
terdapat istana tetapi tidak dijelaskan bagaimana bentuk rupa istana
tersebut, sama ada bertingkat-tingkat menjulang tinggi atau sebaliknya.
Di samping bilik dan istana dan pula rumah-rumah. Nabi Muhammad s.a.w.
bersabda:
Sesiapa yang membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 10 kali,
maka Allah berkenan membangunkan baginya rumah di syurga. (Riwayat
Muslim).
Pohon-Pohon dan Buah-Buahan di Syurga
Keindahan
alam dengan pohon-pohon yang rimbun menghijau serta aneka macam jenis
bunga-bunga yang menawan dapat memberikan kedamaian jiwa bagi siapa yang
memandangnya.
Bayangkanlah kalau kita berada di tengah-tengah
kebun bunga yang seperti itu ditambah pula dengan pohon-pohon yang
mengeluarkan bermacam-macam jenis buah-buahan, tentu kita akan asyik dan
enggan pergi atau meninggalkan tempat tersebut.
Di syurga, Allah memberikan kepada penghuni-penghuninya lebih dari itu sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
"Dan
golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu, berada di
antara pohon bidara yang tidak berduri dan pohon pisang yang
bersusun-susun buahnya dan naungan yang terbentang luas; dan air yang
tercurah; dan buah-buahan yang banyak tidak berhenti (buah-buahan yang
banyak tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya."
(Al-Waqiah: 27-33).
Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan. (Ar-Rahman: 48).
Di dalam keduanya ada (macam-macam) buah-buahan dan kurma serta delima. (Ar-Rahman: 68)
Dan naungan (pohon-pohon syurga itu) dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya. (Al-Insan: 14).
Di syurga juga ada sejenis pohon yang dinamakan tuba. Abu Hurairah berkata:
Sesungguhnya
di dalam syurga itu terdapat sebatang pohon yang dipanggil "tuba" dan
Allah berfirman kepadanya: "Keluarkanlah untuk hambaKu apa-apa yang
mereka kehendaki." Maka keluarlah kuda dengan kekang serta pelana dan
apa-apa keperluan yang dikehendaki dan dikeluarkan pula untuknya
kenderaan dengan tempat duduk serta pengikatnya, apa-apa keperluan yang
dikehendaki dan juga pakaian-pakaian. (Riwayat Ibnu Abid Dunya).
Ibnu Hibban meriwayatkan Hadis daripada Abu Said yang menceritakan seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan bertanya:
"Wahai
Rasulullah, apakah tuba itu?" Baginda menjawab: "Ialah sebatang pohon
yang sangat rindang. Rindangnya sejauh 100 tahun perjalanan, (manakala)
pakaian-pakaian penghuni syurga adalah daripada kelopak-kelopaknya."
Keistimewaan
pohon-pohon di syurga ini semua umbi-umbinya diciptakan Allah daripada
emas. Adapun pohon bidara di syurga itu bercabang-cabang. Setiap
cabangnya mengeluarkan sebiji buah, kemudian dari buah ini keluar pula
72 jenis makanan yang berlainan.
Sedangkan pohon-pohon kurma
pula diciptakan Allah s.w.t. dalam bentuk yang sangat luar biasa
sebagaimana Abdullah bin Al-Mubarak, Ibnu Abi Hatim, Ibnu Abid Dunya dan
Al-Hakaim meriwayatkan perkataan Ibnu Abbas r.a.:
"Pokok kurma
syurga itu batangnya daripada permata Zamrud yang hijau, pangkal-pangkal
pelepahnya daripada emas yang merah dan setiap satu pelepahnya menjadi
pakaian penghuni syurga, daripadanyalah pakaian dan perhiasan-perhiasan
mereka dipotong dan dijahit. Manakala buahnya seperti tempayan, lebih
putih daripada susu, lebih manis daripada madu dan lebih lembut daripada
buih dan tiada mempunyai benih."
Saturday, 16 November 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment