Syeikh Abdul Hamid menyatakan bahawa Islam
mengangkat tinggi darjat berhiasnya seseorang wanita. Dengan demikian, seorang
wanita yang mengambil berat mengenai berhias dan bercantik di hadapan suami
semata-mata untuk menggembirakan suami, dinilai oleh Allah SWT sebagai wanita
solihah yakni sebaik-baik perhiasan dunia.
Sedangkan Syeikh Ahmad Alqet mengatakan
bahawa sudah menjadi fitrah wanita untuk menjaga badan, kecantikan dan
keserasian pakaiannya sehingga masa-masa remajanya, digunakan untuk menarik
perhatian lelaki. Pertautkan hatinya dengan lelaki idaman yang dirasa sanggup menitipkan dirinya melalui jalan
syariah. Apabila perkara ini belum tercapai olehnya, biasanya dengan segala
kemampuan dan kepandaiannya, dikerah
hanya untuk menjaga kecantikan yang
menjadi jaminan masa depan.
Dalam kitab ‘Kaifa Tus’eed Zaujatak’
dikatakan bahawa Islam juga menggalakkan wanita agar berhias dengan sopan dan
tidak menimbulkan murka Allah SWT serta fitnah sesama manusia. Syeikh Abdul Hamid juga menasihatkan agar
wanita /isteri menjadi ratu kecantikan dan keindahan di dalam rumahnya, membawa
keredhaan Rabbnya dan kebahagiaan bagi suaminya.
Pengarang kitab
‘Al-Muntaqal Akhbar’
menjelaskan bahawa fungsi pakaian adalah untuk menutup aurat dan
melindungi
tubuh dari perkara-perkara yang boleh merosakkan. Berhias tidaklah
dilarang sekiranya maksudnya untuk menyatakan nikmat Allah SWT yang
diberikan kepada kita.
Tetapi perkara yang menjadi ianya terlarang apabila ia bermaksud untuk
menyombongkan kekayaan, membangkitkan
kecintaan terhadap bersolek atau kerana mahu mempamerkan kekayaan. Oleh
kerana itu Islam membolehkan wanita
untuk memakai emas dan pakaian sutera tetapi bagi kaum lelaki adalah
dilarang
sama sekali.
Untuk itu ada beberapa anjuran bagi wanita
dalam masaalah berhias iaitu ;-
Jangan Bertabarruj.
Firman Allah SWT : “.......dan janganlah kamu
berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah dahulu...” (Al-Ahzab
: 33)
Qatadah menyatakan, “Mereka itu adalah
wanita yang berjalan lenggang-lenggok “. Sedangkan Abu Najib menyebutkan, “Wanita
yang berjalan dengan kebanggaan”. Al-Farabi pula mengatakan,” Wanita yang
berpakaian tipis sehingga menampakkan kulit badannya.” Yang pasti Aliim Ulamaa’
berpendapat bahawa, “Wanita yang keluar rumah dan berjalan untuk menarik
perhatian orang lain selain daripada suaminya.”
Dikatakan oleh Imam Mujahid bahawa, tabarruj
adalah wanita yang bersolek, berhias diri untuk memperlihatkan perhiasan dan
kecantikannya kepada lelaki. Mereka ini tidak memiliki rasa malu walaupun
sedikit, mereka berjalan di antara lelaki, berlenggang-lenggok,
berdesak-desakan dengan lelaki di pasar-pasar dan berjalan di hadapan lelaki di
jalan-jalan juga di masjid-masjid. Di malam hari berjalan di tempat yang
terang, dengan niat untuk mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada orang ramai. Inilah
yang dilakukan oleh wanita-wanita jahilyyah. Al-Quran telah melarang muslimaat
berbuat seperti demikian.
Timbul pertanyaan ; Apakah manfaat dan
keuntungan dari kecantikan, keindahan, sertta perhiasan sekiranya sudah
ternyata ia tidak disukai Allah SWT, bahkan membawa kemurkaanNya sahaja? Di
sini, ramai wanita tertipu, mereka mahu dipuji dan disenangi oleh makhluk
tetapi lupa bagaimana agar Al-Khaliq juga menyenangi dan memujinya.
Ada beberapa akibat dari perbuatan tabarruj
wanita ini, seperti ;-
1. Akan merebaknya dan terbukanya pintu
perzinaan. Inilah akibat utama dari perbuatan tabarruj yang pada zaman ini
semakin berleluasa.
2. Akan timbul hawa nafsu yang tak
terkawal.
3. Merendahkan darjat wanita itu
sendiri.
4. Meruntuhkan akhlak dan moral manusia.
5. Menimbulkan kebiasaan buruk seperti
perbuatan onani, liwat, lesbian dan sebagainya.
6. Jenayah kejahatan akan lebih
mengancam ketenangan dan keamanan kaum wanita.
7. Meruntuhkan kekuatan ruhani.
Dan sudah
tentunya di akhirat nanti ia pasti akan mendapat balasan di atas segala
perbuatannya tersebut.
Al-Ghazali mengingatkan bahawa ramai wanita
yang menyibukkan diri mereka dengan merias dan mencantikkan diri untuk
membahagiakan suami, tetapi mereka terlupa untuk mengubah sifat dan akhlak
mereka sendiri. Wanita-wanita begini sanggup mengorbankan ratusan ribu duit
hanya untuk menjaga keindahan dan kecantikan tubuh mereka sahaja. Tetapi mereka
melupakan kecantikan dan keindahan ruhani mereka, lalu ruhani mereka dibiarkan
sengsara. Akibatnya, akhlak dan keimanan pun tidak terbina dan lemahnya iman
serta rosaknya akhlak adalah malapetaka
yang besar di dunia ini.
Jangan Menyerupai Lelaki.
Dari A’isyah
R.anha, Rasulullah SAW bersabda, “ Allah SWT melaknat wanita yang menyerupai
lelaki.” ( Muslim, Abu Dawud )
Rasulullah
SAW bersabda, “ Allah SWT melaknat wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki
menyerupai wanita.” ( Abu Dawud, Tirmidzi )
Seorang lelaki berkata, “ ketika aku sedang
berasa bersama Abdullah Ibnu Amr Ibnu Ash, lalu beliau melihat Ummu Said bintu
Abu Jahal dilehernya tergantung busur dan dan dia berjalan dengan gaya seorang
lelaki. Maka Abdullah bertanya, “ Siapa perempuan itu? “ Dijawab, “ itu adalah
Ummu Said bintu Abu Jahal.” Maka Abdullah berkata, “ Aku mendengar Rasulullah
SAW bersabda, ‘Bukan dari ummatku wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki
menyerupai wanita.”
Pada zaman ini, akibat lemahnya usaha dakwah
dan amarr ma’ruf nahi munkar dalam diri
ummat Islam sehinggakan Islam begitu jauh dari kehidupan manusia sehingga
apa saja yang menjadi batasan-batasan antara lelaki dan wanita pun sudah sukar
untuk dibezakan. Padahal dalam solat sahaja Rasulullah SAW sudah membezakan
aturan solat wanita dan lelaki. Begitu juga dalam cara duduk, berjalan,
berpakaian, rambut dan amalan-amalan lainnya.
Jangan Merubah Ciptaan Allah SWT.
Dari Abdillah
RA, Rasulullah SAW melaknat wanita yang
mencabut bulu keningnya dan yang merengggangkan giginya agar kelihatan lebih
cantik dengan merubah ciptaan Allah SWT. ( An Nasaa’i )
Abdullah Ibnu Mas’ud RA berkata, “ Allah SWT
melaknat orang yang membuat tattoo dan yang meminta untuk dibuatkan, orang yang
merubah bentuk kening dan yang meminta untuk diubahnya dan orang yang mengubah
bentuk gigi untuk tampil lebih baik dengan mengubah ciptaan Allah. “ Kemudian
beliau berkata, “ Sampaikan perkara ini kepada seroang wanita Bani Asad, dia
ahli Al-Quran ". Maka datanglah dia kepada Abdullah RA seraya berkata, “ Ada
cerita sampai kepadaku daripada kamu, bahawa kamu melaknat orang-orang yang
membuat hiasan tattoo dan orang-orang yang minta dibuatkan dan orang yang
mengubah bentuk gigi untuk tampil lebih baik dengan mengubah ciptaan Allah.”
Abdullah RA berkata,” Bagaimana aku tidak laknat orang yang dilaknat oleh
Rasulullah SAW, walhal ianya ada dalam Kitab Allah.” Berkata wanita itu, “ Aku
telah membaca seluruh Kitab yang diwahyukan tetapi perkara ini aku tidak temui.”
Maka Abdullah RA berkata, “ Kalau kamu benar-benar membaca pasti kamu akan
menemuinya. BUkankan Allah SWT berfirman : Dan perintah yang datang kepadamu
dari Rasul maka ambillah, larangan yang sampai kepadamu daripadanya maka
jauhilah.’ ( Al-Hasyr : 7 )
Berkatalah wanita itu kepada beliau, “
Tetapi aku masih melihat perkara ini pada isteri kamu.” Abdullah RA berkata, “
Pergilah kamu dan lihatlah.” Al-Qamah RA
berkata, maka masuklah wanita itu menemui isteri Abdullah RA tetapi tidak mendapatkan apa-apa pun, maka
kembalilah wanita itu sambil berkata, “ Aku tidak melihatnya.” Maka berkatalah
Abdullah RA, “ Seandainya masih ada perkara begitu, maka tidak sekali-kalinya
aku menjima’nya.” ( Muttafaqun Alaiih )
Adapun
hadis-hadis mengenai perkara ini banyak
menunjukkan tentang haramnya tatacara berhias seperti berikut ;-
1.
Al-Wasym : Iaitu menusukkan jarum atau belati
dibelakang telapak tangan dekat dengan pergelangan, dibibir atau pada anggota tubuh
yang lain hingga mengeluarkan darah. Kemudian tempat luka itu disapukan dengan
celak atau sejenis kapur untuk menghasilkan warna hijau . Allah SWT
melaknat orang yang mengerjakan
perbuatan di atas dan yang meminta dibuatkan.
2.
At-Tafalluj Lil husni : Merapikan gigi dengan alat
pengikir atau sejenisnya. Perkara ini biasanya khusus untuk gigi depan dan gigi
taring. Allah melaknat orang yang minta dirapikan atau yang mengerjakannya.
Syeikh Abdul Hamid menerangkan bahawa
demikianlah Islam melarang dengan tegas berhiasnya seorang wanita dengan cara
merubah ciptaan Allah.
Jangan Membazir.
Allah SWT mencela orang yang boros dan orang
yang suka melakukan perkaa yang sia-sia ini, firmanNya : “ Dan janganlah kamu
menghambur-hamburkan (hartamu) dengan boros (dan sia-sia), sesungguhnya orang
yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan.” (Al-Israa’ : 26- 27 )
Dalam perkara ini, Syeikh Abdul Hamid
mengatakan bahawa setelah kita mengetahui tatacara berhias yang dibolehkan dan
yang diharamkan, kami ingin mengingatkan kepada ukhti Muslimah tentang larangan lain
iaitu berlebih-lebihan dalam berhias. Seorang wanita solihah hendaklah menjauhi
sifat berlebih-lebihan ini baik dalam membelanjakan harta untuk membeli barang
kosmetik ataupun dalam menghabiskan waktu berjam-jam di depan cermin. Ini
kerana pemborosan dan perbuatan sia-sia ini mengakibat kita bertindak mengenepikan
kepentingan dan keperluan lain yang lebih utama. Dalam berhias hendaklah bersifat
ekonomi, tidak terlalu kedekut dan tidak terlalu boros. Kerana sebaik-baik
perkara adalah bersederhana.
Petikan Dari ----- http://ahliahisham.blogspot.com/
( A.
ABDURRAHMAAN AHMAD )
0 comments:
Post a Comment