Orang Melayu kebanyakannya begitu mengambil berat dalam perkara-perkara
yang berhubung dengan adat istiadat, sehingga ada pepatah Melayu yang
menyatakan " Biar Mati Anak Jangan Mati Adat ". Pepatah ini menunjukkan
betapa kuat dan kukuhnya pegangan orang-orang Melayu tentang adat
istiadat mereka.
Persoalannya golongan manakah yang mengada dan memperkenalkan adat
istiadat dan perkara khurafat tersebut dan sejak bilakah mulanya adat
istiadat dan perkara khurafat itu telah bertapak dalam masyarakat Melayu
?
Persoalan yang lebih besar dan penting ialah adakah adat-istiadat yang
diamalkan oleh orang-orang Melayu itu bertepatan dan selari dengan Hukum
Syarak atau bertentangan sama sekali dengan Hukum Syarak?
Amalan Khurafat ialah perbuatan atau perkara-perkara yang menyalahi
hukum syarak yang masih terdapat dalam aktiviti masyarakat Melayu moden
sehingga ke hari ini. Kepercayaan yang telah kuat bertapak dan berakar
umbi dalam masyarakat Melayu itu seolah-olah telah menjadi satu pegangan
atau tradisi yang mesti dilakukan dalm majlis-majlis atau perayaan
tertentu.
Sebenarnya banyak perkara Khurafat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu
antara contohnya ialah apabila ada majlis perkahwinan dengan upacara
persandingan yang seolah-olah satu kewajipan, sedangkan persandingan itu
merupakan adat Hindu yang mengagung-agungkan Dewa Rama dan Dewi Sita.
Begitu juga apabila ada sesuatu kematian, dan selepas kematian mesti
diadakan kenduri masuk kubur, 3 hari (makan serabai ), kenduri pecah
perut pada hari ke 7, kenduri 40 hari iaitu ruh berpisah dengan waris
dan kenduri 100 hari iaitu turun batu nisan dan bagi ruh itu memasuki
dalam jemaahnya sebagai ahli kubur.
Kebiasaannya orang yang menghidup dan memainkan peranan utama dalam hal
ehwal adat istiadat Masyarakat Melayu dan perkara-perkara Khurafat yang
menyeleweng dan bertentangan dengan Syariat Islam ini adalah terdiri
daripada Bomoh, Pawang, Bidan, Dukun, Guru latihan pertahanan diri, Mak
Andam dan seumpamanya.
Peranan mereka dalam menghidupkan adat istiadat dan perkara Khurafat ini
bergantung kepada bidang masing-masing. Antara Contoh-contoh adat
istiadat dan perkara Khurafat yang sering dilakukan oleh orang-orang
Melayu sampai sekarang antaranya ialah seperti :-
a. Mendirikan Rumah Baru.
Antara Syarat dan adat Istiadat yang mesti di buat untuk mendirikan
rumah baru ialah seperti mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri
rumah, menanam tahi besi / emas / perak / tembaga pada setiap tiang seri
rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut.
Acara-acara tersebut akan dilakukan oleh Bomoh, kononnya untuk
mengelakkan daripada di ganggu oleh jin dan syaitan dan untuk
mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penghuni rumah
tersebut. Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara
menjamu jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan
kesejahteraan penghuni rumah itu.
b. Upacara Menurunkan Perahu / Kapal yang baru ke laut.
Upacara ini di lakukan oleh Bomoh dengan harapan perahu / kapal tersebut
selamat daripada gangguan hantu laut dan sebagainya semasa belayar di
lautan luas. Upacara dilakukan dengan perahu itu di pulihkan dengan
jampi serapah dan mentera dengan menggunakan tepung tawar dan
sebagainya.
c. Kenduri Tolak Bala.
Kenduri ini dilakukan setahun sekali di tengah padang di sesebuah
kampung, dengan setiap penduduk membawa sepinggan makanan. Imam di
jemput untuk membaca doa dan Bomoh pula di jemput untuk membaca jampi
serapah supaya kampung tersebut selamat dari bala bencana pada tahun
tersebut.
Kenduri tolak bala sebenarnya boleh di buat pada bila-bila masa sahaja dan di mana-mana jua dengan syarat :-
i. Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan yang ajnabi dalam majlis tersebut
ii. Melaksanakan kaedah-kaedah yang tidak menjadi tegahan syarak dalam majlis itu.
d. Upacara Persandingan.
Persandingan sebenarnya adalah salah satu bentuk pemujaan dalam agama
Hindu di mana mempelai yang bersanding itu sebenarnya meniru adat Hindu
yang memuja Dewa Rama dan Dewi Sita.
Persandingan secara ini memperlihatkan di sebelah perempuan Mak Andam
sebagai pengiring utamanya dan di sebelah pihak lelaki pula Bomoh
sebagai pengiringnya. Kedua-dua mempelai ini di arak dan di sanjung
serta di puja sepertimana orang-orang Hindu memuja Dewa Rama dan Dewi
Sita, dengan sebab itulah pengantin baru di gelar sebagai Raja Sehari.
e. Mengandung / Kelahiran bayi
Sebelum ibu melahirkan anak, Bidan di jemput untuk mengadakan upacara
lenggang perut. Semasa kelahiran bayi persiapan di buat dengan
menyediakan kain kuning tujuh lapis, tilam dan bantal bewarna kuning
serta pulut kuning dan putih. Duri di letakkan di bawah rumah supaya
jangan di ganggu oleh hantu penanggal. Sementara pantang larang selepas
bersalin pula adalah selama 45 hari.
f. Adat meninggal dunia dan selepas kematian.
Semasa seseorang meninggal dunia Bomoh akan meletakkan gunting di atas
mayat semasa baru meninggal dunia. Semasa hendak menghantar mayat ke
kubur diadakan pula kenduri masuk kubur, selepas 7 hari kematian,
diadakan kenduri pecah perut, selepas 14 hari di adakan kenduri makan
serabai ( sejenis kuih). Kenduri 40 hari sebagai tanda ruh berpisah dari
waris. Kenduri 100 hari sebagai kenduri turun batu nisan dan ruh si
mati telah masuk ke dalam kumpulannya di alam kubur.
Sebenarnya memperbanyakkan sedekah bacaan ayat-ayat Al-Quran dengan apa
cara sekalipun, asalkan tidak menyalahi syarak dan tidak terdapat di
dalamnya sesuatu yang menyalahi syarak dengan diniatkan pahala sedekah
itu untuk disampaikan kepada ibu bapa yang telah mati daripada
waris-warisnya yang masih hidup terutamanya anak-anak adalah digalakkan
dalam Islam.
g. Upacara membuka gelanggang latihan pertahanan diri.
Upacara ini biasanya di lakukan oleh guru latihan pertahanan diri yang
juga merupakan seorang Bomoh yang dilakukan supaya pelatih-pelatih
latihan pertahanan diri di gelanggang tersebut tidak mendapat sebarang
kecederaan semasa berlatih. Antara alat dan upacara yang di lakukan
ialah seperti menyembelih seekor kambing atau ayam hitam dimana darah
ayam dan kambing tersebut di semah di sekeliling gelanggang.
Sesetengahnya menyapu darah tersebut di tapak kaki pelatih latian
pertahanan diri. Selepas itu Bomoh tersebut akan menyeru nama-nama
panglima tertentu seperti Panglima Hitam dan sebagainya. Akhir sekali
Bomoh tersebut akan mengasapkan kemian di sekeliling gelanggang dengan
tujuan untuk menghalau hantu-hantu jahat daripada menghampiri gelanggang
latihan pertahanan dirinya.
h. Membuang Air Kecil/Besar
Salah satu adat lagi yang sering di peringatkan oleh orang-orang tua
kepada anak-anak muda mereka jika hendak membuang air semasa di dalam
hutan atau di tempat-tempat yang sunyi atau di padang-padang atau ketika
hendak melalui sesuatu kawasan atau pokok besar hendaklah meminta izin
terlebih dahulu daripada Jin atau penunggu yang kononnya menunggu tempat
tersebut dengan menyebut "Minta tabik tok nenek, anak cucu tak tahu
bahasa, nak tumpang kencing" atau "Minta ampun tok nenek anak cucu nak
tumpang lalu". Kononnya jika tidak meminta izin kemungkinan orang
tersebut akan di sampuk oleh penunggu tempat tersebut.
Kesemua adat-adat di atas sebenarnya adalah campuran daripada pengaruh
agama Hindu, agama Buddha dan adat istiadat orang-orang Asli yang memuja
roh. Adat-adat tersebut masih kuat diamalkan dalam budaya orang Melayu,
yang menyangkakan sebahagian daripada adat Melayu yang tidak
bertentangan dengan agama Islam, tetapi sebenarnya adat istiadat dan
budaya tersebut terang-terang bertentangan dengan Islam. Contoh
Peralatan dalam pemujaan jin Yang biasa dilakukan oleh Bomoh, Pawang dan
seumpamanya.
Peralatan yang sering digunakan oleh Bomoh dalam pemujaan jin yang
kononnya dikatakan sebagai salah satu upacara dalam adat istiadat Melayu
yang tidak boleh ditinggalkan antaranya adalah seperti berikut :-
a. Puja Kubur.
Puja kubur adalah sebahagian daripada amalan sesetengah orang Melayu
yang masih tebal dengan adat istiadat dan tradisi Melayu kuno dengan
agama Hindu puja Dewa. Mereka percaya bahawa penghuni kubur itu boleh
menghasilkan hajat mereka apabila di minta terutamanya apabila mereka
berada di dalam kesusahan.
Kebiasaanya beberapa jenis makanan atau " jamu " seperti ayam panggang,
bertih, pulut kuning, pisang emas dan lain-lain lagi di bawa dan
diletakkan di atas kubur itu sebagai jamuan untuk penghuni kubur
tersebut, sebelum meminta sesuatu hajat, yang hakikatnya adalah untuk "
jamu " Jin . Yang jelas di sini sebenarnya mereka telah tertipu dengan
permainan Jin yang mahu menyesatkan mereka.
b. Keris, Kemian dan Limau.
Keris sering dikaitkan dengan latihan pertahanan diri, kekuatan,
kemegahan dan kemashuran. Kebiasaannya banyak daripada keluarga orang
Melayu yang mempunyai atau menyimpan keris sebagai sebahagian daripada
barang pusaka yang perlu di pelihara dan di jaga dengan baik. Keris
tersebut perlu dimandikan dengan limau dan di asapkan dengan kemian
serta di balut dengan kain kuning atau hitam dan di simpan di tempat
yang selamat. Pemujaan keris ini selalunya di buat pada malam jumaat
dengan bacaan mentera dan jampi-jampi tertentu.
Pemujaan itu dilakukan dengan tujuan untuk memelihara kekuatan keris
tersebut, supaya penjaga (saka) keris itu tidak menggangu keluarga
mereka dan sebagainya. Sebenarnya keris tersebut tidak mempunyai apa-apa
kuasa kerana ianya adalah merupakan besi semata-mata tetapi yang
berperanan terhadap keris tersebut, sebenarnya adalah terdiri daripada
Jin yang menjadi khadam kepada keris tersebut.
c. Ancak.
Ancak di buat daripada buluh yang hampir sama dengan sangkak. Ada juga
terdapat ancak yang di buat daripada daun pisang yang di isi dengan
pulut kuning, bertih, ketupat dan sebagainya.
Ancak juga di gunakan sebagai "jamu" untuk Jin keturunan atau Jin
penjaga kampung supaya tidak menggangu anak cucu atau penduduk kampung
tersebut pada tahun itu. Kepercayaan menjamu dengan menggunakan ancak
ini masih ada sehingga ke hari ini terutamanya bagi mereka yang masih
ada lagi atau berpegang dengan saka atau Tok-
Nenek atau Jembalang-jembalang keturunan.
d. Sanggu
Sanggu atau sampan biasanya diperbuat daripada upih pinang atau seludang
kelapa. Upih atau seludang yang digunakan mestilah yang jatuh dari
pokok dalam keadaan tercacak pada pangkal pokok. Di ambil upih atau
seludang itu mestilah pada waktu senja.
Waktu membuat sanggu pula mestilah pada waktu tengah malam, mengadap ke
arah matahari naik dan hendaklah di asap dengan kemian dan di baca
mentera atau jampi-jampi tertentu. Tujuan pemujaan Jin yang menggunakan
sanggu ini kebiasaannya adalah untuk memuja Jin keturunan atau saka.
Perkakas dan alat "jamu" yang di isi di dalam sanggu ini ialah,
antaranya pulut kuning, ayam panggang, bertih, beras kunyit dan sireh
pinang. Di tengah-tengah sanggu itu dipacakkan layar, lilin di letakkan
di hujung dan di belakang sanggu. Kemudian sanggu tersebut di layarkan
sebagai jamuan bagi Jin-Jin keturunannya.
e. Sangkak
Sangkak pula di perbuat daripada buluh dengan mengikut syarat-syarat
tertentu. Di atasnya diletakkan seekor ayam panggang yang telah di
proses dengan syarat-syarat tertentu ataupun pulut kuning dan bertih
sebagai "jamu" bagi Jin yang dihajatinya, samada Jin keturunannya atau
Jin penjaga kampung supaya jangan menggangu keluarga atau kampung
tersebut pada tahun itu.
Kemian diletakkan bersebelahan dengan sangkak tersebut sebagai bauan
wangi yang sangat di sukai oleh Jin yang juga menjadi syarat utama untuk
memanggil Jin tersebut.
Terdapat dua cara menguna dan meletakkan sangkak ini. Jika sangkak
tersebut di buat untuk keselamatan keluarga maka ianya dibuat dan
diletakkan di dalam rumah dengan di ikuti oleh majlis tahlil dan
sebagainya. Jika sangkak tersebut di buat untuk menjaga kampung pula
maka ianya di letakkan di tepi hutan atau di pinggir kampung dengan
bacaan mentera dan jampi serapah tertentu dan kadang-kadang di sembelih
pula seekor kambing atau kerbau.
f. Pemujaan Tanduk Kerbau.
Tanduk kerbau sering dijadikan bahan pemujaan oleh sesetengah kumpulan
orang yang mempercayai akan kuasa yang ada padanya. Adakalanya digunakan
dalam majlis-majlis tertentu seperti pertabalan pangkat atau meraikan
sesuatu majlis.
Kepercayaan ini sebenarnya ada hubungan dengan kepercayaan puja Dewa
bagi satu puak di Tanah Jawa, yang mempercayai adanya kuasa pada tanduk
kerbau itu apabila di puja dan di sembah. (sebenarnya adalah kuasa Jin )
Pemujaan tanduk kerbau sering di aitkan dengan sesuatu keturunan. Namun
apa yang jelas tanduk kerbau ini digunakan sebagai alat pemujaan untuk
menyeru Jin dan sebagai makanan atau " jamu" kepada Jin tersebut.
Tujuannya supaya Jin itu tidak menggangu kampung tersebut atau anak cucu
orang yang berkenaan.
Biasanya tanduk tersebut diletakkan di atas suatu tempat tertentu, di
atasnya di nyalakan lilin. Kain warna kuning atau merah di mahkotakan di
bahagian kepala, sementara di sekelilingnya dihidangkan dengan kuih
muih, pulut kuning, bubur merah dan lain-lain lagi. Pawang atau Bomoh
akan memulakan upacara dengan membaca mentera atau jampi serapah
tertentu untuk memanggil Jin berkenaan. Kadang kala apabila Jin itu
datang, ia akan memasuki tubuh Pawang atau bomoh tersebut, dan bomoh itu
akan bercakap sesuatu atau memberi nasihat atau amaran kepada mereka.
Ringkasnya pemujaan-pemujaan seperti yang dilakukan di atas adalah
terang-terang bertentangan dengan agama Islam yang mulia dan semata-mata
perkara Khurafat yang mesti kita jauhi demi keselamatan dan kebahagian
hidup kita di dunia dan akhirat.
Keselamatan, kesihatan dan rezeki manusia sebenarnya telah di tentukan
oleh Allah s.w.t dan bukannya bersebab dari upacara pemujaan tersebut.
Hanya orang-orang yang sesat sahaja yang masih percaya kepada
kuasa-kuasa pemujaan dan perkara-perkara Khurafat tersebut lah yang
memberi sebab kepada keselamatan, kesihatan dan keselamatan mereka.
KERIS LAGENDA ALAM MELAYU
Keris tidak dapat dipisahkan daripada orang Melayu. Keris merupakan
lambang dalam alam latihan pertahanan diri bagi hulubalang-hulubalang
dalam masyarakat Melayu sejak dari dahulu hingga kini.
Kehebatan dan kemegahan seni latihan pertahanan diri juga tidak akan
teserlah tanpa penggunaan keris. Demikian juga sebahagian daripada
permainan seni latihan pertahanan diri tidak akan sempurna jika tidak
ada permainan keris.
Keris juga merupakan senjata utama kepada ahli-ahli latihan pertahanan
diri Melayu. Tanpa keris seperti ada kecacatan pada seni latihan
pertahanan diri tersebut. Sungguhpun keris tidak di bawa berjalan
merata-rata pada zaman sekarang, namun ia masih lagi berfungsi sebagai
mercu kemegahan seni latihan pertahanan diri tersebut, terutamanya pada
saat upacara tamat latihan.
Keris juga memainkan peranan penting kepada sesetengah Bomoh, Pawang dan
Dukun. Di dalam arena perubatan tradisional Melayu, keris digunakan
sebagai alat perantaraan antara Jin dengan Bomoh bagi mengadakan upacara
tertentu. Kadang-kala keris itu di asap dengan kemian terlebih dahulu
untuk menyeru Jin yang dihajati. Setelah beberapa ketika datanglah Jin
yang di seru itu melalui Bomoh tersebut. Ada sesetengah Bomoh yang
menggeletar tubuh badan mereka apabila dimasuki Jin, namun ada juga yang
sampai berguling-guling dan tidak ketinggalan juga yang berkeadaan
biasa apabila dimasuki oleh Jin tersebut. Setelah selesai upacara itu
dan Jin tersebut telah keluar dari tubuh bomoh, maka keris tersebut akan
di kucup, di asap dan disarungkan kembali ke dalam sarungnya.
Biasanya orang-orang yang terlibat dalam bidang latihan pertahanan diri
dan perbomohan gemar menggunakan keris, kerana mereka mempunyai
kepercayaan yang kuat kepada kuasa keris tersebut. Sesetengahnya
mendakwa memperolehinya dalam mimpi, apabila bangun dari tidur,
didapatinya keris tersebut telah berada di sisinya.
Sesetengahnya pula mendapat keris tersebut setelah sekian lama bertapa
di tempat-tempat tertentu. Tidak kurang juga yang memperolehinya dari
warisan turun temurun dari datuk nenek mereka, yang kononnya mereka
adalah
warisnya dengan disyaratkan kepada mereka yang menjaga keris itu,
mestilah melakukan apa jua syarat yang diperlukan sebagai penjaga
warisan keris tersebut.
Dengan memiliki keris tersebut, jadilah ia seorang Bomoh ataupun
pendekar dengan bantuan Jin penjaga keris tersebut. Keris itu dihormati
sebagai tetamu dan di jaga dengan rapi. Sesetengahnya mengambil
kesempatan pada malam Jumaat untuk mengasapkan keris tersebut dengan
kemian dan dimandikan dengan sintuk dan limau nipis bagi menjaga kuasa
yang ada pada keris tersebut supaya tidak hilang. Selepas itu keris
tersebut di bungkus dengan kain kuning atau hitam, di kucup dan di
simpan di tempat yang khas dan selamat.
Ada di antara keris-keris itu yang berbunyi pada waktu malam atau siang
mengikut keadaan dan keperluan. Contohnya bila ada tetamu hendak datang
atau bila ada sesuatu bencana yang akan berlaku seperti banjir, musuh
akan datang menyerang dan sebagainya. Keadaan berbunyinya berbeza-beza.
Ada yang keluar masuk sarung tanpa henti sehingga diberhentikan, ada
juga yang berlegar-legar atau bergegar di tempatnya dan macam-macam cara
lagi.
Mengikut perkiraan lojik, adakah keris itu mempunyai nyawa untuk
berbunyi atau bergerak-gerak ataupun keluar masuk ke dalam sarungnya
sendiri? Tetapi apa yang sebenar berlaku ialah bergeraknya keris itu
adalah disebabkan oleh Jin penjaga keris itu yang mahu memberitahu
sesuatu kepada tuannya.
Orang yang sebeginilah yang selalunya di anggap Tok Keramat oleh
sesetengah orang. Sebenarnya bagi orang yang memiliki keris tersebut,
Jin penjaga keris itu bukan lagi sebagi khadam kepada keris itu, tetapi
sebaliknya sebagai tuan kepada manusia, kerana manusia (tuan keris) itu
terpaksa akur dan patuh kepada segala kehendak Jin tersebut.
Kerana itulah keris tersebut perlu di asap dan dilimaukan sebagai syarat
perhubungan mereka. Jika tidak Jin itu akan menggangu tuannya atau jika
tuan keris itu sudah meninggal dunia maka Jin itu akan menggangu
anak-cucunya pula dengan berbagai-bagai kesusahan dan penyakit. Penyakit
itulah yang dinamakan "saka" atau keturunan. Maka bagi anak cucu yang
mahu membela, maka diamlah Jin tersebut dari menggangu, sementara yang
tidak mahu menerima, saka Jin itu akan terus menerus menganggunya.
http://amoli824.net/
Kredit to Hj. Ahmad b. Hj. Che Din
Wednesday, 28 August 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment