Syirik adalah merupakan sesuatu yang amat berbahaya. Hal ini adalah
kerana apabila seseorang itu terlibat dengan perbuatan syirik, maka ia
akan mengakibatkan tergelincirnya akidah seseorang muslim daripada
landasan keimanan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Quran,
di dalam surah al-Nisa’ ayat 116, maksudnya:
”Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukamNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”.
Maksud daripada ayat ini ialah apabila seseorang itu meninggal dunia
dalam keadaan syirik dan tidak sempat bertaubat kepada Allah, maka sudah
tentu akan terjerumus dalam kebinasaan untuk selama-lamanya di akhirat
kelak. Hal ini adalah kerana ia tidak akan memperoleh pengampunan
daripada Allah SWT. Justeru, syirik adalah merupakan suatu kesalahan
yang amat besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun jua.
Sehubungan dengan itu, nabi SAW melalui hadis yang sahih telah memberi
amaran agar menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan syirik
kerana ia merupakan suatu kebinasaan.
Syirik merupakan suatu kezaliman yang besar. Allah SWT telah merakamkan
di dalam al-Quran nasihat Luqman terhadap anaknya melalui surah Luqman
ayat 13 yang bermaksud:
”Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
Oleh yang demikian, menjadi suatu kewajipan kepada setiap individu
muslim untuk mempastikan agar tidak terjebak dalam perbuatan syirik.
Mungkin masih ada yang tertanya-tanya, apakah maksud syirik sebenarnya?
Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama
ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan
sesuatu yang lain iaitu makhluk sekutu bagi Allah. Firman Allah dalam
al-Quran Surah al-Ma’idah, ayat 72 bermaksud:
“Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka”.
Perbuatan syirik boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu syirik
khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata). Syirik jali
ialah syirik yang dilakukan secara jelas dan terang yang menjerumuskan
seseorang itu ke dalam lembah kekufuran. Syirik ini boleh berlaku
melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:
- Menerusi iktiqad: Contohnya ialah meragui atau menafikan kewujudan Allah dan berkeyakinan bahawa sistem ciptaan manusia lebih baik dan sempurna daripada sistem dan perundangan yang diciptakan Allah.
- Menerusi perbuatan atau amalan: Contohnya adalah seperti perbuatan menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Begitu juga termasuk dalam kategori ini ialah perbuatan memuja kubur atas dakwaan kubur itu keramat atau meminta bantuan bomoh yang menggunakan makhlus halus dalam perubatan dan sebagainya.
- Menerusi lidah atau perkataan: Contohnya adalah seperti menghalalkan perkara haram atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan.
Syirik khafi pula ialah
syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya
pahala seseorang. Syirik daripada kategori ini banyak berkaitan dengan
perbuatan riyak di dalam beramal atau dalam melakukan sesuatu perkara.
Rasulullah SAW pernah menasihatkan para sahabat supaya berhati-hati dan
menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh para sahabat apakah yang
dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah SAW pun menjawab
bahawa syirik kecil yang dimaksudkan ialah riyak dalam melakukan amalan.
Syirik Melalui Bomoh
Antara amalan yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu Islam
pada hari ini yang melibatkan perbuatan syirik ialah dengan meminta
bantuan bomoh yang menggunakan perantaraan jin dan makhluk halus dalam
perubatan. Sesuatu yang menghairankan ialah semakin dunia menjadi
canggih dengan pelbagai kemajuan sains dan teknologi, keterlibatan
masyarakat dalam hal-hal syirik seumpama ini pun semakin menjadi-jadi
dan berleluasa.
Sesuatu yang lebih menghairankan ialah terdapatnya golongan terpelajar
di bidang pengajian Islam pun terlibat dalam hal syirik yang seumpama
ini. Apakah ilmu yang dipelajari itu tidak boleh dijadikan benteng untuk
menyekat diri daripada melakukan syirik kepada Allah? Atau ilmu yang
dipelajari hanyalah sekadar untuk ’mencari makan’ semata-mata?.
Larangan meminta bantuan, pertolongan dan perlindungan jin dalam sesuatu
perkara sudah pun jelas dinyatakan hukumnya di dalam al-Quran.
Antaranya ialah firman Allah dalam surah al-Jin ayat 6 yang bermaksud:
”Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki dalam kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dalam kalangan jin, maka jin-jin itu menambahkan bagi mereka dosa dan kesalahan”.
Kekeliruan juga timbul apabila seseorang bomoh itu menyatakan bahawa
yang mendampinginya untuk melakukan perubatan itu bukanlah jin tapi roh
para wali seumpama Syeikh Abdul Qadir Jailani yang akan datang meresap
dalam tubuh bomoh tersebut ketika upacara perubatan dilakukan. Apa yang
lebih menariknya ialah amalan perubatan biasanya dimulakan dengan
ayat-ayat suci al-Quran, menyebabkan pesakit yang datang begitu mudah
mempercayainya.
Setelah itu iaitu setelah beberapa ketika, ’roh’ para wali yang
dimaksudkan itu pun mula masuk ke dalam tubuh bomoh tersebut dan terus
berkomunikasi dengan pesakit dengan bahasa Melayu atau dengan loghat
Jawa dengan ia memperkenalkan dirinya. Sebagai contohnya, ia mengaku
sebagai Syeikh Abdul Qadir Jailani. Amalan seumpama ini dinamakan juga
sebagai amalan ’menurun’.
Persoalannya, sejak bilakah Syeikh Abdul Qadir Jailani mengikuti
’kursus’ Bahasa Melayu sehingga dapat bertutur dalam bahasa Melayu
dengan baik? Justeru, semua ini adalah suatu penipuan daripada jin ke
atas manusia. Hal ini kerana sesuatu yang pasti ialah alam roh tidak
akan bersatu dengan alam ‘syahadah’ dalam kalangan manusia. Oleh itu,
sesuatu yang mustahil ‘roh’ akan datang bertemu manusia dalam keadaan
sedar dan jaga. Akan tetapi sebaliknya yang datang itu bukanlah roh,
namun ia adalah jin!. Lalu sama ada sedar atau pun tidak, seseorang itu
telah melakukan syirik kepada Allah dengan meminta bantuan dan
perlindungan ‘jin’ dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
Sehubungan dengan itu, masyarakat hendaklah sentiasa berhati-hati dan
berwaspada dalam setiap tindakan dan amalan agar tidak terjebak dalam
syirik yang membinasakan. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa
terdapatnya ‘bomoh’ atau pengamal perubatan Islam yang melaksanakan
perubatan semata-mata dengan ayat-ayat suci al-Quran yang sudah tentu
tidak mendatangkan syirik kepada Allah. Justeru, sebelum berjumpa dengan
mana-mana pengamal perubatan tradisional, hendaklah terlebih dahulu
dipastikan bahawa ia seorang yang berilmu serta tahu hukum-hakam agama
dengan baik.
Sekiranya didapati bahawa pengamal perubatan itu boleh bertukar ‘suara’,
atau menggunakan kaedah ‘menurun’ dan seumpamanya, maka hendaklah
dijauhi daripadanya agar terselamat daripada syirik. Janganlah terpedaya
dengan seseorang yang boleh melakukan sesuatu perkara ‘luar biasa’
sehinggakan terus menganggap ia sebagai wali dan keramat. Ingatlah
pesanan Imam Syafei yang menyatakan : ‘sekiranya engkau melihat pelaku
bid’ah boleh terbang di angkasa, maka janganlah engkau tertipu dan
terpedaya dengannya’.
0 comments:
Post a Comment