Showing posts with label Amalan-Amalan. Show all posts
Showing posts with label Amalan-Amalan. Show all posts

Sunday, 6 July 2014

Amalan-Amalan Yang Digalakkan Di Dalam Bulan Ramadhan.

Amalan-Amalan Yang Digalakkan Di Dalam Bulan Ramadhan.
Bulan ramadhan, Amalan Bulan Ramadhan
Google Image
Assalamualaikum semua. Kedatangan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini memang dinanti-nantikan oleh semua umat islam di dunia ini. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan penuh dengan pengampunan.

Kita juga digalakkan untuk menambahkan amalan ibadah kita untuk mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah swt.

Di bawah ini disertakan beberapa malan-amalan yang amat digalakkan kepada kita semua sepanjang bulan Ramadhan ini.

1. Membaca 1 juzuk al-Quran(minima) Sehari

Untuk menghabis 1 juzuk al-Quran sebanyak 20 muka surat, memerlukan maksimum 1 jam luangan masa, bergantung kepada kefasihan anda membaca al-Quran.
Kita solat fardhu sebanyak 5 kali sehari. Maka, setiap kali lepas solat saya sarankan anda membaca 4 muka surat al-Quran.
Pada hari pertama puasa setelah subuh, mulakan baca 4 muka surat. Begitu juga seterusnya pada solat yang berikutnya. Maka menghasilkan sebanyak 20 muka surat setelah Isyak.
Pada hari pertama anda telah menghabiskan 1 juzuk.
Info : 1 hari 1 juzuk, 30 hari 30 juzuk. Khatam!

Frequently Asked Question(FAQ):

Q : Saya lepas solat, selalunya ada kerja. Bagaimana ya untuk meluangkan masa?
A : Kita biasa bekerja pada siang hari. Maka saya sarankan setelah subuh, baca 4 muka surat. Selepas zuhur, baca 2 sahaja, begitu juga setelah asar. Sekarang tinggal 12 muka surat. Anda boleh membahagikan 6 setelah Maghrib dan baki 6  setelah Isyak. Jika terlampau sibuk sekalipun, cuba ‘Qadha’ kan bacaan al-Quran. Bermaksud, anda luangkan masa Isyak anda membaca selebihnya muka surat al-Quran.

Pada hari pertama, memang kita akan rasa tidak bersemangat. Setelah tamat baca, tandakan dengan tali yang biasa keluar daripada al-Quran itu(Tali penanda). Kemudian, anda lihat al-Quran anda daripada bawahnya(di mana tali penanda itu terkeluar). Anda pasti kagum, hari pertama anda sudah baca 20 muka surat!

“Wah, alhamdulillah! Hari ini sudah sebanyak ini aku baca!”

Maka lafazlah syukur kepada Allah s.w.t.


2. Memperbanyakkan Sedekah
Pada bulan Ramadhan, saya menggalakkan anda bersedekah. Tujuan kita berpuasa  adalah untuk sama-sama merasa kesusahan orang miskin yang tidak makan sepanjang hari.
Maka berilah sedekah kepada orang miskin. Seperti mana anda tidak sabar untuk berbuka puasa, begitu jugalah sahabat-sahabat kita yang tidak bernasib baik. Berilah mereka kegembiraan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.
Berkata Ulama’:
Sedekah itu tidak memiskinkan kamu, tetapi membuka pintu rezeki kamu lebih luas. Maka bersedekahlah.


3. Menuntut Ilmu

Kepada sahabat-sahabat yang terluang masa, saya sarankan anda turun menuntut ilmu. Pergilah berjumpa guru-guru yang bertauliah, belajarlah al-Quran dan sebagainya. Jika terdapat majlis ilmu, maka sertailah.
Sesiapa yang memberi alasan tidak dapat menuntut ilmu, itu  bukan bermakna anda terhalang oleh urusan anda, tetapi Allah s.w.t TIDAK MAHU anda dalam majlis ilmu, naudzubillah!
Di dalam bulan Ramadhan, pasti ada banyak majlis ilmu. Menonton televisyen berunsurkan ilmu juga bermanfaat.
Berpesan Imam Syafie:
Jika kamu tidak merasa keperitan menuntut ilmu, maka rasalah keperitan dalam kebodohan.


4. Berdzikir

Sementara banyak masa yang terluang, maka gunakanlah sebaiknya untuk berdzikir. Dzikir tidak semestinya melafazkan kalimah-kalimah dzikir. Maksud dzikir adalah mengingati Allah s.w.t., maka jika menuntut ilmu mengingatkan anda kepada Allah, tuntutlah ilmu. Jika solat mengingatkan anda kepada Allah, solatlah. Jika melafazkan tasbih dan tahmid mengingatkan anda kepada Allah, lakukanlah.
 
5. Solat Tarawih

Solat sunat tarawih adalah Sunat Muakkad yang bermaksud amalan yang dituntut  untuk dilaksanakan dan besar pahalanya, di bawah taraf wajib.
Maka kutiplah sebanyak mana pahala yang mungkin, kita tidak pasti Ramadhan hadapan kita dapat sambut ataupun tidak.


6. Qiyammullail

Qiyamullail turut digalakkan. Qiyamullail bermaksud bangun di malam hari untuk melaksanakan solat sunat tahajjud dan ibadat-ibadat sunat. Ini termasuk sunnah baginda Muhammad s.a.w.
Antara amalan pada Qiyamullail adalah solat sunat tahajjud, solat sunat hajat, menghafal al-Quran dan berdzikir serta refleksi diri.


7. Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Amar Ma’ruf Nahi Mungkar pada zaman ini tidak semestinya perlu keluar berdakwah. Kita sudah mempunyai laman facebook dan twitter. Gunakan sebaiknya.
Anda boleh sahaja memberikan nasihat dan perkongsian ilmu yang sahih. Elakkan mengeluarkan ilmu ciptaan atau ilmu yang tidak ada asal usul.
Perkongsian al-Quran dan hadis adalah amat ketat syaratnya. Anda perlu tahu sanadnya, dan juga perlu tahu perawinya. Paling baik adalah anda mempunyai kitab al-Quran dan hadis yang benar. Ataupun anda bertanyalah kepada ulama’ ilmu yang ilmunya diakui oleh ulama’-ulama’ lain. Mintalah nasihat daripada ulama’, pasti mereka akan memberikan nasihat yang bermanfaat.
 
 
 

Saturday, 5 July 2014

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA.


PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA.
Assalamualaikum semua. Selamat berpuasa diucapkan. Sempena kedatangan bulan yang penuh barakah ini marilah kita semua tingkatkan amal ibadah kita untuk terus mencari keredhaan Allah swt.

Bulan Ramadhan ini kita berpuasa selama sebulan.  Kadang kala tanpa kita sedari kita mungkin akan terbatal puasa kita tanpa kita sedari. Mungkin ramai juga di kalangan kita kurang arif tentang bagaimana boleh terbatalnya puasa kita.

Di bawah ini disertakan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa kita.

Puasa akan batal dengan salah satu daripada perkara-perkara di bawah ini :
  • Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.

  • Memasukkan sesuatu ke dalam dubur (jalan belakang) atau qubul (jalan depan) dengan sengaja.

  • Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa).

  • Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak mengeluarkan mani.

  • Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk cium dan sebagainya.

  • Kedatangan haid atau nifas.

  • Gila sekalipun hanya sekejap masa.

  • Mabuk atau pengsan sepanjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

  • Bersalin.

  • Murtad-iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hati, perkataan atau perbuatan.
     
     
     
     

PUASA DARI SUDUT KESIHATAN.

Google Image

TIDAK seorang pun ahli perubatan daripada kalangan Muslim mahupun bukan Muslim meragukan mengenai manfaat berpuasa bagi kesihatan manusia.

Menurut buku berjudul Pemeliharaan Kesihatan dalam Islam karya Mahmud Ahmad Najib (Pensyarah Fakulti Kedoktoran Universiti Ain Syams Mesir), ditegaskan bahawa berpuasa sangat berguna dan bermanfaat bagi kesihatan.

Di antara manfaat tersebut, berpuasa dapat memperkecil peredaran darah sebagai perimbangan untuk mencegah keluarnya keringat dan wap melalui pori-pori kulit serta saluran kencing tanpa perlu menggantikannya.

Menurut beliau, curah jantung yang mengagihkan darah ke seluruh pembuluh darah akan membuat peredaran darah menurun. Dengan itu memberi kesempatan otot jantung masa untuk rehat setelah bekerja keras setahun lamanya.

Berpuasa memberi kesempatan kepada organ jantung untuk memperbaiki tenaga dan kekuatan sel seseorang.

Selain itu, menurutnya lagi, berpuasa memberi kesempatan kepada alat-alat pencernaan untuk beristirehat kerana ketika seseorang berpuasa, perut dan ususnya berehat selama beberapa jam daripada kegiatannya.

Proses penyerapan makanan juga berhenti sehingga asam amoniak, glukos dan garam tidak masuk ke usus. Dengan itu sel-sel usus tidak mampu menghasilkan komposisi glikogen, protein dan kolestrol.

Sementara itu, seorang pakar dari Amerika Syarikat, Allan Cott, M.D. telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan pelbagai negara dalam buku berjudul Why Fast? yang memaparkan sejumlah hikmah puasa.

Antara lain memunculkan perasaan lebih baik secara fizikal dan mental, membersihkan tubuh, menurunkan tekanan darah dan kadar lemak, menjadikan badan sihat dengan sendirinya, menumbuhkan kemampuan mengendalikan diri sendiri dan melambatkan proses penuaan.

Lebih jauh, dunia ilmiah telah membuktikan bahawa proses detoksifikasi ketika berpuasa, seperti dipaparkan praktis dan pengkajian kedoktoran nabi, Dr. Mohammad Ali Toha Assegaf, dalam buku berjudul, 365 Tips Sihat ala Rasulullah, menuliskan, pada kekotoran (feces) dan air seni orang yang berpuasa ditemukan racun organophosphat. Bahan racun tersebut disimpan dalam sel-sel adipose (lemak) dalam tubuh yang mengalami pembongkaran dengan cepat ketika seseorang berpuasa.

Diceritakan kisah seorang tabib yang diutus oleh Raja Mesir, Muqauqis kepada Rasulullah SAW sebagai bentuk solidariti sosial untuk mengubati penduduk Madinah secara percuma. Namun ternyata tidak seorang pun pesakit datang berubat kepadanya setelah tabib itu bermukim beberapa lama di Madinah.

Setelah melakukan peninjauan terhadap penduduk Madinah, ia tidak menemukan seorang pun penduduk yang tidak sihat. Akhirnya tabib itu memutuskan untuk meninggalkan Madinah kerana ia merasa tak ada yang perlu diubati di sana.

Ketika meminta izin kepada Rasulullah SAW, ia mengutarakan kekagumannya pada pola hidup kaum Muslimin, sambil berkata, "Tuan, izinkan kami mengetahui rahsia apakah yang menyebabkan tidak seorang pun mengeluh sakit di sini?"

Rasulullah SAW menjawab: "Kami kaum yang tidak makan hingga kami merasa lapar dan ketika makan kami tidak (makan sampai) kenyang." (riwayat Abu Daud).

Kesihatan berkait rapat dengan pola makanan. Melalui hadis di atas, kita diajarkan untuk tidak berlebihan memasukkan makanan ke dalam sistem cernanya.

Lebih-lebih lagi al-Quran memerintahkan hal yang sama dengan firman-Nya bermaksud: Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah kamu berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (al-'Araf: 31)

Sebuah hadis daripada Miqdam bin Ma'dikariba menegaskan hal itu. Ia berkata,

"Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tidak ada bejana yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah baginya memakan beberapa suap untuk sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak dapat demikian, maka hendaklah ia menjadikan sepertiga lambungnya untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga untuk udara (pernafasan)." (riwayat at-Tirmizi)

Nyata sekali di sini bahawa hakikat puasa semakin terbuka rahsianya sebagai suatu mukjizat ilmiah dan keperluan kemanusiaan.

Fakta kebenaran ini akan terus tersingkap lebih banyak lagi seiring dengan peningkatan pengetahuan, sains dan teknologi manusia mengenai hukum-hukum penciptaan Allah SWT ke atas alam semesta.

SUMBER

Monday, 28 April 2014

KELEBIHAN SOLAT SUNAT TAHAJJUD.


Solat malam atau Solat Tahajud adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah.

Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.

Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

“Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Amalan solat malam bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad s.a.w, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah mengerjakan solat tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.

Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: “Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.

Kurniaan di dunia ialah:-

* Jauh daripada segala penyakit
* Lahir kesan taqwa pada wajahnya
* Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia
* Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
* Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)

Sementara empat perkara di akhirat ialah:-

* Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
* Dipermudahkan hisab
* Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat
* Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.”

Solat malam adalah solat yang penting antara solat-solat sunat yang lain. Rasulullah S.A.W pernah ditanya, “Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu?”

Beliau menjawab dengan tegas, “Solat malam!” (Hadis Riwayat Muslim).

Beberapa keutamaan yang diperoleh oleh para pengamal solat malam adalah seperti berikut:

1. Tercatat sebagai orang yang baik dan berhak mendapat anugerah rahmatnya (Surah adz-Dzariyat ayat 15 hingga 18).
2. Mendapat penyempurnaan di atas kekurangan dalam ibadat wajibnya, hingga dapat menempati darjat yang terpuji (Surah al-Israk ayat 79).
3. Mendapat pujian daripada Allah (Surah al-Furqan ayat 63 hingga 64).
4. Dilihat sebagai orang yang beriman (Surah as-Sajadah ayat 16).
5. Darjatnya dibezakan dengan orang yang malas (Surah az-Zumar ayat 9).

Beberapa petikan hadis berikut menyebut beberapa fadilat dan keindahan lain solat malam.

Antaranya adalah hadis daripada Abdullah bin Amr bin Al-‘Ash yang berbunyi, Rasulullah S.A.W berkata kepadaku, “Abdullah, jangan jadi seperti polan yang pernah mendirikan solat malam kemudian meninggalkannya,” (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim).

Salman al-Farisi menceritakan, Rasulullah S.A.W berkata, “Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”

Salim bin Abdullah bin Umar bercerita kepada Hafshah, isteri Rasulullah S.A.W, “Ketika Rasulullah S.A.W masih hidup, biasanya apabila seseorang bermimpi, dia menceritakan mimpinya itu kepada

Rasulullah S.A.W. Saya berharap mendapat mimpi supaya dapat menceritakannya kepada beliau. Semasa masih muda, biasanya saya tidur di masjid. Suatu ketika, saya bermimpi seakan-akan dua malaikat memegang dan membawaku ke neraka yang dibina seperti perigi dan memiliki tanduk. Di dalam perigi itu ada beberapa orang yang saya kenal.

Saya lalu berkata, “Saya berlindung kepada Allah dari neraka.” Saya bertemu dengan malaikat lain yang berkata padaku, “Jangan takut.” Mimpi ini disampaikan oleh Hafshah kepada Rasulullah S.A.W, dan beliau berkata, “Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah ketika mahu solat malam.” Selepas itu, dia hanya tidur sebentar sahaja di malam hari.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Syaitan mengikat tengkuk kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Syaitan menepuk pada setiap ikatan, ‘Bagimu malam yang panjang, maka tidurlah.’ Apabila kamu bangun dan berzikir mengingat Allah, maka terbukalah satu ikatan. Apabila kamu berwuduk, terbuka satu lagi ikatan. Apabila kamu solat, terbukalah satu ikatan lagi. Maka di pagi hari, kamu segar dan bersemangat. Sekiranya tidak, di pagi hari tentu kamu berasa lesu dan malas.”

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir, dan menyatakan, ‘Siapa yang berdoa kepadaku, pasti aku kabulkan. Sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaku, pasti aku ampuni.’” (Hadis Riwayat Al-Jama’ah).

‘Amr bin Al-‘Ash meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Sedekat-dekat hamba kepada Allah adalah pada tengah malam yang terakhir. Apabila kamu dapat menyertai golongan orang yang berzikir mengingat Allah pada saat itu, maka lakukanlah.” (Hadis Riwayat Al-Hakim).

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Apabila seseorang membangunkan isterinya pada waktu malam, lalu kedua-duanya solat dua rakaat, maka mereka tercatat dalam golongan orang yang selalu berzikir.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

SUMBER 

AMALAN PINDAH RUMAH MENURUT AMALAN ISLAM.

AMALAN PINDAH RUMAH MENURUT AMALAN ISLAM.

Apabila kita ingin memasuki rumah atau tempat baru seringkali kita merasa amat seronok. Tetapi harus diingat kita jangan terlupa akan kedatangan makhluk lain selain kita. Oleh itu islam telah memberi garis panduan kepada kita semua sebelum memasuki rumah baru.

1. Azan.

Melaungkan azan ketika pertama kali masuk rumah baru. Ia juga baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis/rumah) itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yg dikenali sbgai Al-’Ammar) yang suka tinggal di rumah yang tidak berpenghuni.

2. Membaca surah Al-Baqarah.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasululuuah s.a.w. bersabda yang bermaksud; “Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah.”

3. Banyakkan Solat dan Membaca Al-Quran.

Dalam sebuah hadis lain pula, Rasulullah s.a.w. juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yang bermaksud: “Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran.” (hadis riwayat Al-Baihaqi)

4. Baca Surah Yassin, Al-Fatihah dan Al-Ikhlas.

Amalkan membaca surah Yassin setiap malam terutamanya 7 malam pertama anda menduduki rumah atau bangunan. Baca juga surah Al-Fatihah sebanyak satu kali, surah Al-Ikhlas 3 kali, selawat ke atas nabi sebanyak 7 kali, ayat Kursi sekali, tetapi di ayat terakhir bacalah sebanyak 7 kali.

5. Pagar Rumah Secara Islam.

Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut-sudut tertentu di rumah atau bangunan yang diduduki dengan kepercayaan bahawa benda tersebut akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang bertentangan di sisi Islam.

Bagaimana pun ada cara yang dibolehkan dan digalakkan mengikut ajaran Islam. Caranya ialah dengan ‘memagar rumah’ dengan merenjis air Yassin di sekeliling rumah.

Ikut panduan berikut: 

Ambil air kemudian baca surah Al-Fatihah, ayat Kursi, Surah 3 Kul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas). Kemudian tiup ke dalam air tersebut perlahan-lahan hingga habis nafas. Setelah itu, jirus dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru rumah dengan mulai dengan penjuru yang terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya, mengikut arah berlawanan jarum jam.


SUMBER

Friday, 13 September 2013

20 Amalan-Amalan Yang Perlu di Jauhi Untuk Mencari Keredaan Allah

Terdapat 20 perkara yang patut dijauhi. Perkara tersebut adalah seperti berikut :

1 : Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai Allah SWT. Kalau tertidur akan dimaafkan.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Yang membezakan (seorang itu mukmin) dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat". (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: "Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya." (Surah Al-Ma’un ayat 4-5).

2 : Jangan masuk ke tandas atau bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Takut kalau-kalau terbawa keluar najis, mengotori seluruh rumah kita.

Perlu biasakan memakai selipar atau terompak bila masuk ketandas atau bilik air untuk menjaga kebersihan kaki kita setelah mandi dan mengambil wuduk,  supaya najis tidak dibawa keluar bilik air.

3 : Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ia membahayakan. Dan jangan bernafas dalam minuman atau meniup kedalam minuman.

Di dalam kitab Sunan Abi Daud diriwayatkan hadis dari Abu Said Al-Khudri bahawa ia mengkhabarkan : "Rasulullah Sallalahu 'Alaihi Wasalam melarang minum dari bahagian cawan yang pecah dan melarang untuk bernafas dalam air minum."

Jika cawan atau pingan kita retak , pecah atau sumbing hendaklah dibuangkan sahaja jangan digunakan lagi.

Ini termasuk etika yang diajarkan untuk kemaslahatan orang yang minum, sebab minum melalui bahagian cawan yang sumbing boleh menyebabkan beberapa bahaya:

Kotoran yang biasanya ada dipermukaan air, akan berkumpul di bahagian cawan yang sumbinng, lain halnya bahagian tepi cawan yang masih utuh.
1.  Ia boleh mengganggu ketika minum. Minum melalui bahagian cawan yang sumbing atau pecah tidak boleh dilakukan dengan baik.
2. Kotoran dan seumpamanya biasa terhimpun di bahagian cawan yang pecah, kerana tidak ikut dibersihkan ketika dicuci, tidak sebagaimana cawan yang  masih baik.
3. Bahagian yang sumbing adalah bahagian yang buruk pada cawan, iaitu bahagian yang paling tidak bagus hingga mesti dielakkan, lebih baik dicari bahagian yang masih baik, sebab bahagian yang buruk dari segala sesuatu pasti tidak ada baiknya.
 4. Boleh jadi bahagian yang pecah itu mempunyai belahan atau bahagian yang runcing yang boleh melukai mulut orang yang minum melalui bahagian tersebut.

Adapun bernafas dalam air minum, risikonya adalah menimbulkan bau busuk pada air minum yang tidak disukai orang lain, terutama sekali orang yang bau mulutnya mengalami perubahan buruk. Pada dasarnya, secara umum nafas orang yang minum akan bercampur ke dalam air tersebut.

Justeru, Rasulullah Sallahu 'Alaihi Wasalam menggabungkan antara larangan meniup air dan larangan bernafas dalam air dalam hadis At-Tirmizi dan dinyatakan sahih oleh beliau, dari Ibnu Abbas bahawa ia mengkhabarkan : "Rasulullah melarang meniup air dan bernafas dalam air minum."

4 : Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan. Pastikan semua pingan mangkuk, periuk belanga, cawan dan bekas makanan dicuci sebaik sahaja selesai digunakan. Sisi-sisi makanan yang dibiarkan didalam bekas makanan bermalaman tanpa dibersihkan  adalah menjadi habuan syaitan , kerana syaitan suka kepada makanan yang kotor dan busuk.

Islam menggalakkan kebersihan dan benci pada sifat pengotor dan menjauhkan diri daripada perkara yang boleh mendatangkan penyakit.

Dari ‘Amr bin Syu’aib : ‘Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu mencintai kalau melihat bekas kenikmatan-Nya atas hamba-Nya itu, dengan jalan menunjukkan keindahan dan kesempurnaannya dalam berpakaian, makan, berumahtangga dan lain-lain.” (Hadis Riwayat Imam Tirdmizi dan ia mengatakan bahawa ini adalah hadis Hassan.)

5 : Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu rezeki dan keberkatan).

Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, "Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?"

Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat Subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, seperti satu hadis yang berbunyi: 'اللهم بارك لأمتي في بكورها'
(Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi). Untuk itu, para fuqaha' memakruhkan tidur selepas solat Subuh.

Telah thabit dari Nabi SAW bahawasanya baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yg empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya, Nabi melewati anaknya Fatimah r.ha yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka baginda bersabda:

يا بنية قومي اشهدي رزق ربك، ولا تكوني من الغافلين، فإن الله يقسم أرزاق الناس ما بين طلوع الفجر إلى طلوع الشمس '

"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari." (Hadis Diriwayatkan al-Baihaqi)

Berkata Nabi di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani di dalam al-Awsath:

باكروا الغدو -أي الصباح- في طلب الرزق، فإن الغدو بركة ونجاح'

"Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah berkat dan kejayaan."

Oleh itu para fuqaha menetapkan kemakruhan tidur selepas solat Subuh, dan dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar.

6 : Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita di kongsi syaitan.

Dari 'Amr bin Abu Salamah radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah SAW  bersabda kepadaku:  "Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu." (Muttafaq 'alaih)

Dari Umayyah bin Makhsyi as-Shahabi r.a., katanya: "Rasulullah SAW (pada suatu ketika) duduk di situ ada seorang lelaki yang makan lalu tidak mengucapkan Bismillah, sehingga makanannya tidak tertinggal melainkan sesuap saja. Setelah orang itu mengangkatkan sesuatu yang tertinggal tadi di mulutnya, tiba-tiba dia mengucapkan: 'Bismillahi awwalahu wa akhirahu.' Kemudian Nabi SAW. ketawa lalu bersabda: "Tidak henti-hentinya syaitan tadi makan bersama orang itu. Tetapi setelah dia ingat untuk mengucapkan nama Allah (yakni setelah membaca Bismillah), maka syaitan tadi memuntahkan seluruh makanan yang telah ada dalam perutnya. (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Nasa'i)

7 : Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati dalam perjalanan dengan niat yang tidak baik.

Membaca doa bila hendak keluar daripada rumah. "Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah"
maksudnya: “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzy dan Nasai)

Sunnah berikutnya adalah mendahulukan kaki kiri ketika keluar rumah, serta memberi salam kepada keluarga. Sebelum keluar rumah hendaknya menentukan niat dan tujuan, serta memastikan barang bawaan tidak ada yang tertinggal.

8 : Jangan pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan atau pun memakai sebelah sahaja.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Jika engkau memakai kasutmu, mulailah dengan kaki kanan.  Jika engkau menanggalkan kasutmu, mulailah dengan kaki kiri. Hendaknya sebelah kanan mula memakai kasut dan sebelah kiri mula menanggalkan kasut. Dan jangan berjalan dengan sebelah kasut. Tanggalkan kedua-duanya atau pakai kedua-duanya” (Silsilah as-Shahihah Albani)

9 : Jangan biarkan mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman maksudnya : " Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki agar mereka menundukkan pandangan mata ( terhadap wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka ( menutupya ). Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya."( Surah An-Nur ayat 30-31 )

10 : Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Banyak buruk dari baiknya.

Rasulul­lah SAW  bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesung­guhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

11 : Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.

Rasulullah SAW  pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."

Justeru itu bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT perlulah dibuat secara berterusan tanpa henti.Taubat haruslah di perbaharui dari masa ke masa. Ini kerana, setiap insan tidak mungkin terlepas dari dosa, samaada besar atau kecil, dosa batin atau lahir, dosa yang diketahui atau tidak atau lalai dalam menunaikan hak Allah dan manusia lainnya. Bahkan dosa kerana tidak menambah ilmu pengetahuan dalam agama dan sebagainya juga tidak terkecuali.

12 : Jangan ego (sombong)  untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang kita bersalah.

Sifat orang mukmin akan sentiasa meminta maaf dan merendahkan diri terhadap kedua ibu bapanya. Sentiasa memberi khidmat terbaik terutama apabila mereka menjangkau usia tua yang uzur. Begitu juga sifat orang mukmin yang suka meminta maaf kepada siapa sahaja orang lain yang dirasakan bersalah .

Di dalam surah al-Israk, firman Allah yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah al-Israk ayat 23)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya; bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya."
(Hadis Riwayat Bukhari)

13 : Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan kita hilang bahagia.

Dari Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa Rasulullah  bersabda yang bermaksud, " Tahukah kamu apakah ghaibah? Jawab sahabat, "Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. " Maka Rasulullah SAW. bersabda maksudnya , "Ghaibah itu jika kamu menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah." Lalu Rasulullah SAW ditanya," Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? "Jawab Rasulullah SAW " Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).

14 : Jangan lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong apabila berjaya. Kalau gagal kecewa pula.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah al-Thalaq ayat 3).

15 : Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah boleh memadamkan kemurkaan Allah SWT dan kematian yang buruk.

Rasulullah SAW bersabda: “Si pemurah yang jahil lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil.” (Hadis Riwayat Al Khatib)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Dari Abu Hurairah r.a, bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda : “Apabila mati anak adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Nabi SAW bersabda maksudnya : “ Sesiapa yang sanggup diantara kamu menjaga dirinya daripada api neraka hendaklah ia bersedekah walau hanya dengan sebiji kurma, dan sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

16 : Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa.

Suatu ketika, Rasulullah SAW berjalan di depan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW mengingatkan kita banyak ketawa dengan sabda baginda yang bermaksud: “Terlalu banyak ketawa itu boleh menghilangkan cahaya daripada wajah kita.”

17 : Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada kita.

Rasulullah S.A.W.  bersabda kepada Sayyidina Ali k.w. yang bermaksud :
"Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu didunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari."

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulin, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang.”  (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no. 2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)

18 : Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan Allah SWT.

Ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi di fitnah sungguh mustajab di sisi Allah S.W.T.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah."
(Hadis riwayat Ahmad - sanad hasan)

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara."
(Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)

19 : Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.

Ingatlah! Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menuai memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran., anggaplah kesukaran di dunia adalah bersifat sementara dan jangan sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : "... dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusof ayat 87).

Sabda Nabi SAW maksudnya; Jadilah engkau di dunia seolah-olah orang berjalan, diwaktu petang engkau tidak menunggu pagi dan apabila diwaktu pagi tidak menunggu petang, Perumpamaan aku dan dunia seperti orang musafir duduk berteduh dibawah pokok kemudian bangun dan meninggalkannya. "

20 : Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk keselamatan kita. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.
 
Bersama-samalah kita semua menjauhinya.
 
 
SUMBER ---- http://abubasyer.blogspot.com/

Wednesday, 11 September 2013

Amalan-Amalan Untuk Mewujudkan Kasih Sayang Suami Isteri.

MEMBACA SURAT ALI' IMRAN AYAT 31

Firman Allah: Katakanlah (wahai Muhammad):"Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan(Ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi." Apabila sampai kepada ayat "yuhbibkumullah (nescaya Allah mengasihi kamu), maka niatkanlah nama suami (isteri), barulah disambung dengan ayat seterusnya.

MENGAMALKAN SURAT YUSUF AYAT 4

Firman Allah:"(Ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya:"Wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan: aku melihat mereka memberi hormat kepadaku." (Ayat ini juga elok dibaca ketika hendak ditemuduga)

MELEMBUTKAN HATI SUAMI DAN JUGA ANAK, AMALKAN MEMBACA SURAH AL-HASYR AYAT 21

Firman Allah:"Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya."

MELEMBUTKAN HATI SESEORANG - SURAH ASY-SYURA AYAT 19

Firman Allah:"Allah Maha Lembut tadbir-Nya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihan-Nya) kepada hamba-hamba-Nya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

PASANGAN SUAMI ISTERI JUGA HENDAKLAH SELALU MENGAMALKAN MEMBACA SURAH TOHA

Baca dan tiupkan di ubun-ubun anak dan suami/isteri ketika mereka tidur. Surah ini bukan sekadar dapat melembutkan hati pasangan masing-masing serta anak, tetapi juga memberi kesan kepada hal-hal lain. Misalnya, ketika berhadapan dengan orang yang berdolak-dalih untuk membayar hutang, maka bolehlah dibaca ayat ini. Ayat ini juga sesuai dibacakan pada air minuman dan ketika membasuh beras.


SUMBER ---- http://sayapunadablog.blogspot.com/

Copyright @ 2013 Amalan Di Dunia..