Showing posts with label Syurga Allah. Show all posts
Showing posts with label Syurga Allah. Show all posts

Friday, 30 August 2013

Amalan-Amalan Dan Gaya Hidup Rasullullah.

Berikut merupakan antara amalan yang dilakukan Nabi Muhammad SAW semasa riwayat hidup baginda dan ianya menjadi sunnah buat umatnya yang dikasihi. Amalan-amalan ini mampu menjadikan seseorang itu mencintai Baginda dan boleh membawa seseorang itu cenderung kearah soleh wa musleh.


Puasa:

Rasulullah SAW berpuasa pada hari Isnin dan Khamis-(Riwayat Ibnu Majah)

Tahajjud:
Rasulullah SAW bangun menghidupkan malam (tahajjud) sehingga bengkak kedua kaki Baginda- (Riwayat Bukhari, Muslim, Termizi, Nasai, Ibnu Majah kepada Mughirah)

Pakaian:

Adalah pakaian yang paling disukai Rasulullah SAW ialah gamis- (Riwayat Abu Daud, Termizi, Hakim daripada Ummu Salamah).

Bertemu:

Apabila Rasulullah SAW mendatangi rumah seseorang, Baginda akan berdiri menghadap di hadapan pintu akan tetapi baginda akan berdiri di sebelah kanan atau kiri pintu sambil mengucapkan salam (Riwayat Ahmad dan Abu Daud daripada Abdullah bin Bisr)

Sujud syukur:
Apabila Rasulullah SAW didatangi dengan berita yang menggembirakan hatinya, Baginda akan terus sujud syukur pada Allah SWT (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abi Bakrah).

Berbaring:
Apabila Rasulullah SAW hendak berbaring (untuk tidur), Baginda akan meletakkan tangan kanannya di bawah pipi kanannya (Riwayat Tabrani daripada Hafsah)

Makan:
Apabila Rasulullah SAW makan tengah hari, Baginda tidak akan makan malam lagi dan jikalau baginda makan malam beliau tak akan makan tengahari (Riwayat Abi Na'im daripada Abi Sa'id)

Berwuduk:

Apabila Rasulullah SAW berwuduk, Baginda akan meyelati janggutnya dengan air (Riwayat Tabrani daripada Ibnu Umar)

Ketawa:
Apabila Rasulullah SAW ketawa, Baginda meletakkan tangan di atas mulutnya (Riwayat Baghawi daripada Walid Murrah)

 Istighfar:
Apabila Rasulullah SAW menghadiri satu majlis kemudian hendak bangun meninggalkannya, Baginda akan beristigfar sebanyak sepuluh hingga lima belas kali (Riwayat Ibnu Sinni daripada Abi Umamah)

Berani:
Rasulullah SAW seorang yang paling baik, paling pemurah dan paling berani. (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Anas)

Benci dusta:
Perangai yang sangat dibenci oleh Nabi Muhammad SAW adalah dusta (Riwayat Baihaqi dari Aisyah)

Marah:
Apabila Rasulullah SAW marah dan baginda dalam keadaan berdiri baginda akan duduk , dan jikalau sedang duduk baginda akan berbaring, hingga hilanglah marahnya (Riwayat Tabrani daripada Ibnu Mas'ud dan Ummu Salamah)

Memberi salam kepada kanak-kanak:
Apabila Rasulullah lalu di hadapan anak-anak, Rasulullah SAW akan memberi salam (Riwayat Bukhari kepada Anas)

Memotong kuku:
Rasulullah SAW memotong kuku dan menggunting misainya pada hari Jumaat sebelum keluar sembahyang. (Riwayat Baihaqi kepada Abi Hurairah)

Amalan:
Amalan yang paling disukai oleh Rasulullah SAW ialah kekal (istiqamah) sekalipun sedikit. (Riwayat Termizi dan Nasai daripada Aisyah dan Ummu Salamah)
 
 
Sumber ------ http://abuzarinharun.blogspot.com/
Suatu ketika seorang sufi (ahli ibadah) bernama Hatim al-Asham diminta penjelasan oleh Ashim bin Yusuf selepas tamat pengajian majlis ilmu yang diikutinya. Ashim ialah seorang ahli fiqih yang melihat segalanya daripada kaca mata syariah.

Ashim bertanya kepada Hatim: "Ya Syaikh, bagaimanakah cara kamu melaksanakan solat?"

Hatim sebagai ahli tarekat dan syariat menjawab: "Ketika masuk waktu solat aku berwuduk dengan dua wuduk iaitu wuduk lahir dan wuduk batin. Wuduk lahir itu syariat dan wuduk batin pula adalah hakikat."


Ashim sebagai orang yang banyak memberi tumpuan pada fiqih agak terkejut. Melihat keadaan itu, lantas Hatim segera menerangkan bahawa: "Wuduk lahir dilakukan dengan membersihkan anggota badan menggunakan air. Manakala wuduk batin pula, kita haruslah mencuci hati dengan tujuh hal iaitu:
1. Hati dicuci dengan rasa penyesalan (an-nadamah) - menyesal daripada pelbagai kesalahan dan kerana meninggalkan kebaikan. Sayyidina Umar bin Khattab r.a memiliki kebun kurma di Madinah. Pohon-pohon kurmanya berbuah dengan kualiti yang baik sekali. Alangkah bahagiannya hati Umar memiliki kebun tersebut. Beliau seringkali berjalan mengelilingi dan memeriksa hasil perkebunannya. Di dalam kebun itu juga terdapat satu sumber air.
Suatu hari, ketika Umar pulang dari kebunnya, beliau berjumpa dengan para sahabat lalu berjalan bersamanya. Umar bertanya: "Dari manakah kalian?" Jawab para sahabat: "Kami baru pulang daripada berjemaah Asar."
Dengan segera Umar berucap "Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun. Jadi kalian tadi habis jemaah Asar? Masya-Allah, saksikanlah para sahabat. Aku ketinggalan berjemaah kerana kebun kurma ini. Maka kebun ini aku wakafkan kepada fakir miskin."
Inilah contoh yang harus kita teladani dalam hal penyesalan meninggalkan satu ibadah kebaikan. Bacaan taroji': Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun merupakan ungkapan ketika seseorang yang berhadapan dengan cubaan dan musibah. Jadi suburnya kebun dan sumber air bagi Umar tidak lain hanyalah cubaan yang menimpa dirinya. Dan kalimat ini juga menunjukkan betapa penyesalan luar biasa daripada beliau akibat ketinggalan solat Asar berjemaah.
2. Hati harus dicuci dengan taubat (taubat nasuha) - iaitu dengan bersungguh-sungguh dan bertekad tidak akan mengulanginya. Jika perlu taubat itu disertai dengan puasa tiga hari sebagai bukti kesungguhan, selain membiasakan solat malam.
3. Hati harus dicuci dengan meninggalkan cinta dunia - Cinta dunia mengakibatkan perbuatan yang salah seperti menipu, curang, rasuah dan sebagainya.
4. Hati dicuci dengan menjauhkan diri daripada sukakan kekuasaan (hubbur riyasah). Sesungguhnya kekuasaan sering menyibukkan manusia dan memalingkannya daripada Allah Yang Maha Kuasa.
5. Hati harus dicuci dengan meninggalkan perasaan suka dipuji (hubbul mahmadah). Pujian seringkali menenggelamkan manusia dalam sifat keAkuan yang mengakibatkan kesombongan yang luar biasa.
6. Baiknya hati dicuci daripada dendam. Meninggalkan dan melupakan dendam kesumat secara automatik akan memberikan kepada seseorang itu ketabahan dan kesabaran menghadapi cubaan dan rasa sakit daripada orang lain.
7. Baiknya hati dicuci dengan meninggalkan hasad dengki yang sudah pastinya sangat berbahaya. Bahaya hasad adalah seperti bahayanya api yang dengan cepat membakar kayu.
Kemudian Hatim menceritakan pula bagaimana cara beliau melaksanakan solat dengan kata-katanya: "Ketika memulakan solat, aku merasa Kaabah di depanku, syurga di kananku, neraka di kiriku, siratal mustaqim di telapak kakiku, dan Izrail telah menunggu di belakangku yang siap sedia mencabut nyawa."
Inilah yang dikatakan Qashrul amal (pendek angan-angan) iaitu semangat yang mampu mendorong untuk meningkatkan kualiti beribadat.
sumber : utusan.com
- See more at: http://www.cintapencipta.com/2013/03/tujuh-cara-menyucikan-hati.html#sthash.DjG6W7YK.dpuf

Thursday, 29 August 2013

CIRI-CIRI SOLAT SEMPURNA

Apa yang dimaksudkan dengan solat yang sempurna?

Iaitu solat yang dilakukan dengan memenuhi segala rukun-rukun dan sunat-sunatnya dalam keadaan tenang, khusyuk dan penuh penumpuan. ciri-ciri solat yang sempurna ialah;
1. Orang yang melakukannya meyakini bahawa solat yang dilakukannya adalah sebagaimana solat Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-.
2. Setiap pergerakan di dalamnya dilakukan dengan toma’ninah (tenang, tertib, sopan dan tidak tergesa-gesa).
3. Lidah menyebut dengan elok dan fasih bacaan-bacaan di dalam solat terutamanya ayat-ayat al-Quran.
4. Bacaan-bacaan di dalam solat difahami maknanya sama ada bacaan itu berupa ayat-ayat al-Quran, zikir atau doa kerana memahami makna membawa kepada penghayatan terhadap apa yang dibaca itu.
5. Hati dalam keadaan khusyuk dan memberi penumpuan kepada solat iaitu tidak lalai atau alpa.

Apa hukum mengetahui kaifiyat solat Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-? Bagaimana caranya?


Hukumnya adalah wajib kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda (dalam bentuk perintah); “Kerjakanlah solat sama sebagaimana kamu melihat aku mengerjakan solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Malik bin al-Huwairith –radhiyallahu ‘anhu-)

Untuk mengetahui kaifiyat solat Nabi, caranya ialah melalui riwayat-riwayat yang soheh dari para sahabat yang menceritakan bagaimana Nabi mengerjakan solat bermula dari niat dan takbiratul-ihram hinggalah kepada memberi salam.

Apa persediaan yang perlu dilakukan sebelum menunaikan solat?

1. Bersih dari hadas dan najis.
2. Memakai pakaian menutup aurat
3. Memastikan telah masuk waktu jika solat yang hendak dikerjakan itu solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu seperti dhuha atau sebagainya.
4. Memastikan arah qiblat.
5. Persediaan batiniyah; iaitu melapangkan hati dan akal fikiran dari segala urusan dunia dan memberi tumpuan kepada solat sahaja.

Apa akibatnya jika solat tidak dilakukan dengan sempurna?

Menyebabkan solat tidak sah jika yang tidak disempurnakan itu adalah perkara rukun dan hilang pahala jika yang tidak disempurnakan itu perkara sunat. Di dalam sebuah hadis, Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Suatu hari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- berada di dalam masjid. Masuk seorang lelaki, lalu mengerjakan solat. Kemudian ia datang kepada baginda dan memberi salam. Setelah menjawab salamnya, baginda berkata kepadanya; ‘Ulangi semula solat kamu. Sesungguhnya kamu belum mengerjakan solat’…” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa solat yang dilakukan tanpa memenuhi rukun-rukunnya sama seperti tidak melakukannya, kerana itu disuruh oleh Nabi supaya mengulanginya semula.



USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://fiqh-am.blogspot.com

Friday, 23 August 2013

5 Amalan Yang Membantu di Akhirat.


Sahabat yang dirahmati Allah, di dalam peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW telah di pelihatkan oleh Allah SWT seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah SAW berhenti.
Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Lalu berkata Jibrail kepada baginda : “Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.”
Alangkah ruginya kita apabila masa hidup di dunia telah diberikan peluang oleh Allah SWT kita mensia-siakan umur kita berlalu begitu sahaja sedangkan kita tidak menggunakan sepenuhnya untuk menfaat kehidupan dihari akhirat nanti.
Sebagaimana di dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud:

Maksud Hadis ;

“Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, ilmunya untuk apakah ia gunakan, harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, mengenai tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan serta kecergasannya.” – Hadis Riwayat Tarmizi.

Nabi SAW mengajarkan kepada kita doa : “Allaahummaj’al khayra ‘umrii aakhirahu wa khayra ‘amalii khawaatiimahu wa khayra ayyaamii yawma lliqaa’ika”

Maksud Doa:

“Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada ujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan (jadikanlah) sebaik-baik hariku iaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu (di hari kiamat).” – Hadis riwayat Ibnus Sunny.

1) Memberi sumbangan untuk jihad fisabilillah dan sedekah jariah.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Terjemahan Ayat: 

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya; Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang soleh.” – Surah al-Munafiqqun ayat 10.

Orang mukmin akan mengambil kesempatan semasa hidup di dunia yang sementara ini untuk membuat pelaburan untuk hari akhirat.

Harta yang dimiliki akan dilaburkan untuk jihad fisabilillah, bersedekah, amal jariah dan membantu fakir miskin dan anak-anak yatim. Allah SWT akan menggandakan sedekah kita sehingga 700 kali ganda atau lebih.

Semasa Israk dan Mikraj baginda diperlihatkan : “Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW dibertahu oleh Jibrail : ‘Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.’ .”

2) Menuntut ilmu, mengajarkannya dan mengamalkan ilmu tersebut.
 Firman Allah SWT dalam Al-Quran;
 Terjemahan Ayat;

 “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Orang-orang yang berilmu akan pula dimudahkan jalannya ke syurga oleh Allah SWT dan senantiasa didoakan oleh para malaikat.” – Surah Al-Mujaadilah ayat 11

Nabi SAW bersabda maksudnya;

“Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula.” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Islam mewajibkan kita menuntut ilmu fardu kifayah yang memberi manfaat dan berguna untuk kita dalam hal-hal yang berhubungan dengan kehidupan kita di dunia, agar tiap-tiap muslim tidak dikategorikan sebagai terkebelakang dan agar setiap muslim dapat mengikuti perkembangan ilmu pengetahuan yang dapat membawa kemajuan bagi penghuni dunia ini dalam batas-batas yang diredai Allah SWT.

Demikian pula Islam mewajibkan kita menuntut fardu ain iaitu ilmu-ilmu deenul Islam agar menghasilkan natijah yang sempurna, amalan yang dilakukan sesuai dan selaras dengan perintah-perintah syarak.
Ilmu yang dimiliki perlu disampaikan dan disebarkan kepada semua manusia supaya dapat dimanfaatkan dan sebagai saham dan pahala yang berterusan.

3) Memperbanyakkan berzikir kepada Allah SWT.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang mengucapkan la ilaha illallah wahdahu la syarika lah. Lahu-l-mulku wa lahulhamdu wa huwa ‘ala kulli syay’in qadir sebanyak 100 kali dalam sehari, dia akan mendapat pahala memerdekakan 10 hamba, ditulis baginya 100 kebajikan, dihapuskan daripada 100 kejahatan, dan dia dilindungi daripada godaan syaitan sejak hari itu hingga petang. Tidak seorang pun yang datang membawa hasil yang lebih baik daripada yang diperolehnya, kecuali dia melakukan lebih banyak daripada itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)

Semasa Mikraj Nabi SAW naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya.

Kepada Rasulullah SAW , Nabi Ibrahim a.s. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH . Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim a.s. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:

SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM.

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”.

Dalam sebuah hadis menyebut daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku berjalan di belakang Rasulullah SAW, lalu baginda berkata kepadaku: “Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku berkata: “Mahu ya Rasulullah”. Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa billah.”

4) Banyakkan bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT.

Bertaubat dan beristighfarlah setiap hari kerana Nabi SAW beristighfar 100 kali sehari. Sesiapa yang sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dia akan bersih daripada dosa-dosa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, ” Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman : “Aku menurut dugaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih suka kepada taubat hambaNya dari pada salah seorang di antaramu yang menemukan barangnya yang hilang di padang.

Barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaKu sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaKu sehasta, maka Aku mendekatkan diri kepadanya satu depa. Apabila ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari kecil. (Hadis Riwayat Muslim).

Dari Anas bin Malik ra., ia berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda : Allah berfirman maksudnya :

“Wahai anak Adam ( manusia ), sesungguhnya selama kamu berdoa dan mengaharap kepadaKu, Aku memberi keampunan kepadamu terhadap apa (dosa ) yang ada padamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam seandainya dosamu sampai ke langit kemudian kamu minta ampun kepadaKu maka Aku memberi ampun kepadamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adaml, sesungguhnya apabila kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian kamu menjumpai Aku dengan tidak mensekutukan Aku dengan sesuatu nescaya Aku datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi”. (Hadits Riwayat Turmudzi).

5) Perbanyakkan membuat kebaikan dan solat tahajud dan kepada Allah SWT.

 

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersada yang maksudnya, “Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya.”

(Hadis Riwayat Muslim).

Allah SWT menceritakan bahawa ahli syurga adalah mereka yang ketika di dunia ini banyak membuat kebaikan dan mengerjakan solat tahajjud.
Firman Allah SWT maksudnya :

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.

(Surah al-Israa’ ayat 79)

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)

Sahabat yang dikasihi Allah,

Marilah sama-sama kita beramal dengan beramal dengan amalan yang diwajibkan oleh Allah SWT dan meninggalkan segala dosa dan larangan-Nya, dan perbanyakkan 5 amalan yang dinyatakan di atas sebagai bekalan dan persiapan kita menghadapi hari yang tidak ada sesiapa yang boleh membantu kita ketika itu melainkan amalan yang kita bawa bersama dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Amalkanlah doa yang sering di amalkan oleh Sayyidina Umar al-Khattab. Beliau pernah berdoa kepada Allah SWT : “Wahai Tuhanku, peliharalah aku dengan Islam sewaktu aku berdiri, peliharalah aku dengan Islam waktu aku duduk, peliharalah aku dengan Islam waktu aku tidur. Janganlah Engkau biarkan terhadap diriku musuh dan orang-orang yang dengki terhadap diriku”

Artikel Oleh: Ustaz Abu Basyer. Klang. Selangor


 


 



 
 

 

Thursday, 22 August 2013

Hayati 13 Ciri-ciri Mulia Untuk Memasuki Syurga Allah SWT.

 السَّلاَمُ عَلَيْكُم

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjLKUftjkGM9JcYVadufaDwHXzQCBwwzamDoYSBFCAh1qFWr_heD0AwtSzCdq_JVUHl4wmgHV_FG5JqHsXKluI3Wt-uE3PSl0l6iOGfqX-H_am6dI4jbKG2nDAxqeA4NqTSiUzw5YLkomM/s400/manusia-terakhir-masuk-syurga.jpg
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat beberapa ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa Allah SWT menyediakan syurga seluas langit dan bumi untak hamba-hamba-Nya yang memenuhi beberapa ciri-ciri mulia yang dinyatakan sendiri oleh Allah SWT. Kita perlulah berdoa kepada Allah SWT semoga  dipilih oleh-Nya untuk memasuki syurga .
 

Pertama. Untuk orang yang bertakwa.

Firman Allah  SWT yang bermaksud: ‘Dan bersegeralah kamu semua menuju keampunan daripada Tuhanmu dan juga menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang bertakwa’. (Surah Ali ‘Imran, ayat 133).

Kedua : Untuk orang yang mendapat keampunan Allah SWT dan yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulnya." (Surah al-Hadid ayat 21)

Ketiga : Untuk orang-orang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka syurga-syurga sebagai tempat mereka kembali’. (Surah al Sajdah, ayat 19).

Keempat : Untuk orang takut kepada Allah dan tidak mengikut hawa nafsu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "dan adapun orang yang takutkan kedudukan Tuhannya dan menahan kemahuan dirinya daripada mengikut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurga adalah tempat kembali baginya" (Surah al-Naazi'at ayat 40)

Kelima : Untuk orang yang bertaubat dan beramal soleh.
 

Di dalam surah Ghafir, Allah SWT menceritakan tentang doa yang dipohon oleh malaikat kepada orang-orang yang beriman maksudnya : "Wahai Tuhan kami, Engkau meliputi semua perkara dengan rahmatMu dan ilmuMu. Maka ampunkanlah orang-orang yang bertaubat dan mengikut jalanMu dan jauhilah mereka daripada azab neraka. Wahai Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga-syurga Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan kepada orang-orang yang soleh dari kalangan bapa-bapa mereka, isteri-isteri mereka dan zuriat mereka. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana" (Surah Ghafir ayat 7-8)

Keenam : Untuk orang mukmin yang mengikuti cara kehidupan sahabat-sahabat Rasulullah SAW iaitu Muhajirin dan Ansar.  

Firman Allah SWT  yang bermaksud: "Dan orang-orang yang terdahulu daripada kalangan Muhajirin dan Ansor dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah telah reda kepada mereka dan mereka juga telah reda kepada Allah. Dan Allah telah sediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kejayaan yang besar" (Surah al-Taubah ayat 100)

Ketujuh : Orang yang menyeru kepada kebaikan dan mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka (orang-orang kafir) mengajak ke neraka, sedang Allah menyeru (manusia) ke syurga dan keampunan dengan izinNya". (Surah al-Baqarah ayat 221)

Kelapan : Orang yang berjaya dipilih oleh Allah SWT untuk dijauhkan daripada neraka (menjauhkan diri daripada dosa-dosa besar dan kecil).

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barangsiapa dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya". (Surah Ali Imran ayat 185)

Kesembilan : Orang yang infak dan bersedekah hartanya di jalan Allah SWT dan berjihad di jalan-Nya.      

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan mereka syurga. Mereka berperang pada jalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh. Itu telah menjadi janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janji selain daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar".(Surah at-Taubah ayat 111)

Kesepuluh : Orang yang berbahagia (diampunkan dosa-dosanya dan mendapat rahmat Allah SWT)  di sisi Allah SWT.          
 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Adapun orang yang berbahagia (di akhirat) maka tempatnya di dalam syurga". (Surah Hud ayat 108)
 

Kesebelas : Orang yang berhikmah (berilmu) dan beramal soleh.       
 

Nabi Ibrahim a.s berdoa kepada Allah SWT yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Dan jadikanlah aku bahan percakapan yang baik bagi orang-orang yang datang kemudian. Dan jadikanlah aku di kalangan orang-orang yang mempusakai syurga yang penuh kenikmatan". (Surah asy-Syu'ara ayat 83-85)
 

Kedua belas : Orang yang sabar ketika berhadapan dengan orang yang zalim.       
 

Di dalam surah al Tahrim, ayat 11 tendapat doa isteri Firaun yang solehah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Allah menjadikan isteri Firaun sebagai perumpamaan bagi orang-orang yang beriman. Ketika ia berkata: 'Ya Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisiMu di dalam syurga. Dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim'.". (Surah at-Tahrim ayat 11)
 

Ketiga belas :  Orang yang memiliki jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah)
 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu".(Surah al-Fajr ayat 30)
Sahabat yang dimuliakan,
 

Marilah sama-sama kita berusaha untuk memenuhi 13 ciri-ciri ahli syurga yang terdapat di dalam al-Quran. Iaitu orang yang beriman, beramal soleh, bertaubat, berbahagia, bersedekah, berjihad, menyeru kepada kebaikan, berilmu, bersabar , tidak mengikuti hawa nafsu dan jiwa yang tenang (mutmainnah).
 

Untuk memenuhi ciri-ciri tersebut perlulah kepada proses tarbiah imaniah yang akan mendidik hati dan jiwa kita untuk sentiasa beriman dan berhubung denga Allah SWT. Kita perlu istiqamah dengan Islam dan yakin dengan janji-janji Allah SWT kerana sesungguhnya 

Dia tidak akan memungkiri janji-janji-Nya. Sesungguhnya sesiapa yang terpilih memasuki syurga Allah SWT dia adalah orang-orang yang amat beruntung.
Artikel Dari Ustaz Abu Basyer
http://abubasyer.blogspot.com/

Copyright @ 2013 Amalan Di Dunia..