
Apa yang dimaksudkan dengan solat yang sempurna?
Iaitu
solat yang dilakukan dengan memenuhi segala rukun-rukun dan
sunat-sunatnya dalam keadaan tenang, khusyuk dan penuh penumpuan.
ciri-ciri solat yang sempurna ialah;
1. Orang yang melakukannya meyakini bahawa solat yang dilakukannya adalah sebagaimana solat Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-.
2. Setiap pergerakan di dalamnya dilakukan dengan toma’ninah (tenang, tertib, sopan dan tidak tergesa-gesa).
3. Lidah menyebut dengan elok dan fasih bacaan-bacaan di dalam solat terutamanya ayat-ayat al-Quran.
4.
Bacaan-bacaan di dalam solat difahami maknanya sama ada bacaan itu
berupa ayat-ayat al-Quran, zikir atau doa kerana memahami makna membawa
kepada penghayatan terhadap apa yang dibaca itu.
5. Hati dalam keadaan khusyuk dan memberi penumpuan kepada solat iaitu tidak lalai atau alpa.
Apa hukum mengetahui kaifiyat solat Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-? Bagaimana caranya?
Hukumnya
adalah wajib kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda (dalam
bentuk perintah); “Kerjakanlah solat sama sebagaimana kamu melihat aku
mengerjakan solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Malik bin al-Huwairith
–radhiyallahu ‘anhu-)
Untuk mengetahui kaifiyat solat Nabi,
caranya ialah melalui riwayat-riwayat yang soheh dari para sahabat yang
menceritakan bagaimana Nabi mengerjakan solat bermula dari niat dan
takbiratul-ihram hinggalah kepada memberi salam.
Apa persediaan yang perlu dilakukan sebelum menunaikan solat?
1. Bersih dari hadas dan najis.
2. Memakai pakaian menutup aurat
3.
Memastikan telah masuk waktu jika solat yang hendak dikerjakan itu
solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu seperti dhuha atau
sebagainya.
4. Memastikan arah qiblat.
5. Persediaan batiniyah;
iaitu melapangkan hati dan akal fikiran dari segala urusan dunia dan
memberi tumpuan kepada solat sahaja.
Apa akibatnya jika solat tidak dilakukan dengan sempurna?
Menyebabkan
solat tidak sah jika yang tidak disempurnakan itu adalah perkara rukun
dan hilang pahala jika yang tidak disempurnakan itu perkara sunat. Di
dalam sebuah hadis, Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan;
“Suatu hari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- berada di dalam masjid.
Masuk seorang lelaki, lalu mengerjakan solat. Kemudian ia datang kepada
baginda dan memberi salam. Setelah menjawab salamnya, baginda berkata
kepadanya; ‘Ulangi semula solat kamu. Sesungguhnya kamu belum
mengerjakan solat’…” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini
menunjukkan kepada kita bahawa solat yang dilakukan tanpa memenuhi
rukun-rukunnya sama seperti tidak melakukannya, kerana itu disuruh oleh
Nabi supaya mengulanginya semula.
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://fiqh-am.blogspot.com